Dr.Aziz Bari Enggan Layan Isu ‘Childish’ Mainan Pembangkang

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari menganggap usaha pihak tertentu yang cuba mengaitkan dirinya dalam rakaman audio yang tular kononnya mengkritik pentadbiran Menteri Besar Perak, sebagai mengalih perhatian terhadap isu sebenar iaitu salah urus tadbir Taman Tema Animasi Studio (MAPS) di Perak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri bagaimanapun enggan melayan rakaman audio itu yang disifatkan sebagai cerita politik “kedai kopi”.

Beliau berpendapat banyak isu penting yang perlu diselesaikan berbanding cerita dari sumber yang tiada kebenarannya.

“Saya tak mahu komen benda macam itu .. benda yang tidak autentik dan tiada asasnya. Saya tak tahu dan zaman teknologi sekarang ini macam-macam orang boleh buat.

“Jadi saya tak nak komen, dan tak mahu layan perkara-perkara sebegini, banyak lagi isu lain contohnya isu MAPS melibatkan kerugian hampir mencecah setengah bilion ringgit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau menasihati Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamed supaya berhenti memainkan isu tersebut.

“Kenapa semua benda diarah pada saya saja, saya seorang saja ada potensi jadi Menteri Besar ke? Orang lain tak ada?

“Saya rasa beberapa kenyataan yang dibuat oleh beberapa ADUN yang menyentuh isu ini boleh membawa masalah kepada mereka,” katanya.

Ditanya pemberita sama ada beliau akan membuat laporan polis berhubung isu tersebut, Aziz berkata beliau tidak perlu berbuat demikian selagi tidak mengganggu ketenteraman awam.

Semalam tular rakaman audio didakwa sebagai salah seorang Exco kerajaan negeri Perak yang mengkritik pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menerusi rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat itu, individu berkenaan menzahirkan rasa kurang berpuas hati dengan cara Ahmad Faizal mentadbir negeri Perak selepas Pakatan Harapan berjaya merampasnya daripada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.