Dr Zambry Tetap Dipanggil Sesi Pendengaran Awam 26 November

Reading Time: 3 minutes

IPOH: Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tetap dipanggil sebagai saksi utama pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Perak (PAC) yang akan diadakan di Bilik Gerakan Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 26 November ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, Leong Cheok Keng, turut dipanggil pada sesi pendengaran awam itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) Datuk Aminuddin Hashim.

Leong menyangkal dan menafi keras kenyataan dua Ahli Jawatankuasa PAC, iaitu ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan ADUN Gunung Semangol, Haji Razman Zakaria pada sidang media semalam yang mendakwa beliau (Leong) membuat kenyataan memanggil Dr Zambry dan Datuk Aminuddin di luar pengetahuan dan persetujuan semua ahli PAC.

Leong menjelaskan sebenarnya YB Aznel dan Haji Razman hadir semasa sesi mesyuarat PAC yang berlangsung pada 16 November baru-baru ini dan telah bersetuju tanpa bantahan apabila mesyuarat mengambil keputusan untuk memanggil Datuk Seri Dr Zambry dan Datuk Aminuddin Hashim sebagai saksi.

“Saya terkejut kerana YB Aznel dan YB Razman memberitahu pemberita semalam bahawa saya bertindak secara sendiri tanpa pengetahuan mereka … itu adalah tidak benar.

“Mereka memang hadir dalam mesyuarat pada 15 November lalu dan mesyuarat itu juga dihadiri oleh ahli-ahli PAC kecuali YB Khusairi Talib ADUN Slim dan ada direkodkan bahawa memang isu memanggil YB Dr Zambry Abd Kadir dipersetujui oleh YB Razman dan YB Aznel.

“Saya menyanggah dan menafikan kenyataan YB Aznel yang saya anggap keterlaluan dan mengelirukan yang boleh memberikan impak tidak baik di mata rakyat Perak.

“PAC akan bertindak secara profesional, terbuka dan independen … kami tidak akan dipengaruhi oleh pertimbangan politik,” katanya kepada pemberita di Ipoh pada Selasa.

Beliau berharap ahli-ahli PAC yang lain juga tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik. Leong juga berharap Datuk Seri Dr Zambry akan memberi kerjasama penuh apabila dipanggil sebagai saksi utama pada sesi pendengaran awam nanti.

Kepada soalan pemberita Leong berkata, surat rasmi akan dikeluarkan kepada Datuk Seri Dr Zambry bagi menghadiri sesi pendengaran awam PAC 26 November ini.

Sementara itu salah seorang anggota PAC, YB Sandrea Ng yang juga ADUN Teja menzahirkan rasa kecewa berhubung kenyataan YB Aznel dan Haji Razman yang beliau sifatkan sebagai tidak mempunyai keikhlasan untuk bekerjasama sebagai ahli PAC.

Semalam Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak mempersoalkan kenyataan Pengerusinya, Leong Cheok Keng untuk memanggil bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan bekas Ketua Pegawai Eksekuif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Datuk Aminuddin Hashim.

ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, berdasarkan mesyuarat pada 15 November lalu memang ada cadangan untuk memanggil kedua-dua individu tersebut tetapi tiada sebarang keputusan rasmi dibuat.

Menurutnya, mesyuarat untuk memutuskan sama ada kedua-dua individu itu dipanggil atau sebaliknya akan dibuat pada 23 November ini.

“Kami terkejut dengan kenyataan pengerusi itu kerana ia tidak pernah dibincang atau diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

“Perkembangan ini sangat membimbangkan kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah PAC Perak apabila sesuatu keputusan penting dibuat secara unilateral atau bersendirian tanpa pengetahuan semua ahli PAC,” katanya kepada pemberita di Hotel Impiana, Ipoh semalam.

Dalam perkembangan lain, Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin berkata, PAC Perak berhak memanggil mana-mana individu dirasakan penting bagi menjawab isu berkenaan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) tanpa perlu merujuk DUN.

Menurut beliau, tindakan Jawatankuasa PAC Perak memanggil bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim untuk sesi pendengaran awam dijadualkan 26 November ini adalah melalui beberapa syarat diperuntukkan kepada mereka.

Menurutnya, perkara sama turut berlaku di peringkat Parlimen apabila Jawatankuasa PAC negara berhak memanggil bekas Perdana Menteri dan isteri, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji serta bekas Timbalan Perdana Menteri bagi tujuan siasatan daripada laporan diterima.

“Mereka (Jawatankuasa PAC) tidak perlu merujuk kepada sesiapa kerana kuasa diberikan kepada mereka untuk memanggil sesiapa sahaja tanpa perlu merujuk Parlimen.

“Kalau peringkat negeri, Jawatankuasa PAC Perak tidak perlu rujuk kepada DUN kalau sekiranya ada terima laporan berhubung salahlaku mana-mana agensi kerajaan daripada mana-mana pihak.

“Melalui kenyataan direkod (pada sesi pendengaran awam dibuat), Jawatankuasa PAC perlu buat kajian sebelum sesuatu isu dimajukan kepada pihak tertentu seperti SPRM,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke kilang syarikat pembuatan elektronik, AEL Engineering Sdn Bhd di kawasan perindustrian Parit Buntar semalam.

Untuk rekod, pada awal tahun ini sebelum pilihanraya umum diadakan, Aminuddin pernah mengadakan majlis lafaz ikrar kakitangan MB Inc. untuk menyimpan rahsia dan akuan tidak membocorkan maklumat atau dokumen yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972. Menurut beliau seperti yang dilaporkan oleh sebuah laman berita arus perdana, ikrar dan akuan itu di­buat sebagai ‘langkah pencegahan serta berjaga-jaga’ bagi me­mastikan segala dokumen sen­­sitif atau rahsia rasmi perba­danan itu dipelihara daripada dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.