Tindakan Khianat Waytha Moorthy Tiada Beza Dengan Sabotaj Terhadap Negara

Reading Time: < 1 minute

Waytha Moorthy Ponnusamy sepatutnya dilucut taraf sebagai warganegara Malaysia kerana tindakan beliau memburukkan nama negara di luar negara adalah satu kesalahan yang amat serius dan tidak menggambarkan beliau seorang warganegara yang taat setia kepada Raja dan Negara.

Dalam satu temubual dengan wartawan di luar negara, yang disiarkan di laman Youtube, beliau mendakwa Malaysia tidak mengamalkan demokrasi yang sebenar dan kaum India di Malaysia tidak diberikan hak sama rata dengan rakyat lain.

Beliau juga membuat tuduhan bahawa beribu kuil telah dirobohkan sejak negara mencapai kemerdekaan. Waytha secara spesifik menyebut sebanyak 10,000 kuil telah dimusnahkan dan ada 23,000 lagi berisiko dirobohkan.

Lebih buruk lagi, beliau mendakwa kaum India tidak diberikan kebebasan beragama dan kebanyakannya dipaksa menukar agama jika mereka mahu bekerja di jabatan kerajaan.

Ini adalah tuduhan yang berat tambahan pula tuduhan tersebut dibuat di luar negara di hadapan wartawan antarabangsa yang boleh memberi imej dan persepsi yang teruk terhadap negara.

Tindakan beliau adalah suatu bentuk sabotaj terhadap negara dan Waytha sepatutnya disiasat dengan segera dan mesti dipertanggungjawabkan terhadap kenyataan yang beliau sendiri keluarkan. Tidak cukup sekadar meminta maaf, pengkhianat negara perlu berdepan dengan hukuman yang berat sama ada dipenjara seumur hidup dengan kerja berat atau hukuman gantung sampai mati.

Di Iran dan Turki, hukuman kepada pembelot negara adalah dihukum mati. Untuk warga tentera di negara ini, jika didapati belot atau khianat terhadap negara, mereka akan dihukum mati.

Tidak kira bila temubual tersebut berlaku, pihak berkuasa harus menangkap serta menyiasat Waytha dengan segera. Rakyat Malaysia juga disarankan agar membuat laporan polis secara beramai-ramai supaya pengkhianat negara segera dikenakan tindakan.