Bekas KPN Persoal Tindakan Bukan Muslim Pertikai Cara Hidup Orang Islam

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

Bekas Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan mempersoalkan orang-orang bukan Islam kerana didakwa mempersoalkan hal ehwal dan gaya hidup umat Islam di negara ini.

Bekas pegawai polis yang telah bersara itu mendakwa orang-orang bukan Islam tidak menghormati orang Islam di negara ini.

“Mengapa kebelakangan ini bukan Islam banyak mempertikaikan perkara bersangkutan dengan hal ehwal Islam dan cara hidup orang Islam?” Tanya beliau melalui ciapan di akaun Twitternya @TSMusaHassan semalam.

“Adakah peraturan mereka sejagat yang mana tidak perlu menghormati cara hidup orang lain?

“Adakah umat Islam begitu lemah terpaksa berkompromi?” Katanya.

Musa sebelum ini mengkritik liberalisme, pluralisme, dan sekularisme.

“Liberalisme, pluralisme dan sekularisme adalah konsep yang dibawa oleh barat kononnya bagi tujuan hak asasi dan kebebasan. Tapi ia menyentuh tentang akidah terhadap ketuhanan yg sentiasa dipegang teguh oleh umat Islam,” katanya.

Sejak akhir-akhir ini, beberapa kaedah atau cara kehidupan orang-orang Islam di negara ini mula dipertikaikan oleh orang-orang bukan Islam yang tidak mengerti tentang Islam. Bermula dari isu perkahwinan dengan remaja bawah umur (bawah 18 tahun) sehingga tradisi mengkhatankan bayi perempuan yang telah diamalkan sejak sekian lama.

Dalam satu ciapan yang lain, Musa merujuk kepada satu ayat Al-Quran surah Al-Anfal yang menyentuh tentang sikap orang-orang kafir yang saling membantu sesama mereka.