Undang-undang Untuk Semua, Tidak Mengenal Siapa

Reading Time: < 1 minute

Ketegasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memang patut dipuji kerana undang-undang tidak mengenal siapa sama ada orang awam atau golongan VVIP.

Kerana sikap pemimpin yang berdiam diri membenarkan tindakan VVIP selama ini menyebabkan undang-undang dipandang sepi dan dianggap oleh mereka hanya untuk rakyat marhaen saja.

Dengan mendedahkan tindakan Presiden Dewan Negara yang melanggar peraturan di ruang rehat KLIA seperti yang dilaporkan di laman web Malaysiakini semalam, ia sedikit sebanyak membayangkan betapa selama ini sudah berapa kali agaknya tindakan melanggar peraturan di pintu masuk negara dilakukan oleh golongan VVIP lain seperti presiden itu yang tidak didedahkan, malah mungkin didiamkan saja kerana takut diancam kerana mereka golongan ‘VVIP’.

Walaupun perkara itu dianggap remeh dan menyusahkan – hanya kerana kesalahan memakai selipar, ia menimbulkan persepsi negatif bahawa golongan ini selama ini merasa mereka sangat berkuasa dan dengan senang hati tidak mahu mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Mungkin mereka merasa peraturan dibuat untuk golongan bawahan, rakyat marhaen dan mereka adalah golongan istimewa dan tidak tertakluk kepada peraturan. Ini adalah sangkaan yang salah dan golongan seperti ini patut diajar dan dikenakan tindakan supaya ia tidak akan berulang lagi dan peraturan yang dibuat mesti dipatuhi dan dihormati tidak kira siapa.

Rakaman video litar tertutup sudah jelas menunjukkan kesalahan yang dilakukan dan Anthony Loke tidak perlu lagi mendengar alasan atau penjelasan yang boleh diputar belit dari individu berkenaan.