Himpunan Aman Petanda Awal Kebangkitan Umat Islam Mahu Pemimpin PH Tolak ICERD

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Himpunan Aman membantah isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dihadiri lebih 1,000 umat Islam di perkarangan Masjid Negeri Ipoh selepas solat Jumaat tadi memberi petanda awal kepada kebangkitan ummah menentang ICERD.

Himpunan itu yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah Perak menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin tertinggi PAS antaranya Naib Presiden PAS, Haji Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Haji Razman Zakaria, Ketua Pemuda Pas Perak, Akmal Kamaruddin, Pemuda UMNO negeri dan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Haji Razman dalam ucapannya mahu umat Islam bangkit menentang habis-habisan ICERD kerana ia jelas telah mengundang kemarahan seluruh umat Islam di negara ini. Menurut beliau, umat Islam dan orang Melayu tidak dapat menerima ICERD kerana menganggapnya satu isu yang melibatkan kedaulatan dan pencabulan strtuktur undang-undang negara, di mana ia melangkaui kuasa Raja-Raja Melayu dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Katanya, himpunan hari ini berpendapat kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan mesti segera mengambil peduli kemarahan umat Islam dengan menolak ICERD. Akmal Kamaruddin dalam ucapannya pula berkata, bersetuju meratifikasi ICERD bermakna tanah rizab Melayu dihapuskan dan fasiliti pendidikan Melayu seperti Universiti Teknologi Mara (UITM), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kepada orang Melayu tidak boleh lagi dinikmati.

Katanya, beliau akan membangkitkan isu ICERD pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang memandangkan isu ini melibatkan umat Islam.
Himpunan selama hampir sejam itu berakhir dengan perarakan beramai-ramai untuk menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Pejabat Perak BAR di Ipoh.