IPOH: Perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka menjadikan Perak sebagai negeri pilihan para pelabur luar untuk datang melabur di negeri ini.
Justeru itu Pengerusi Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Zakaria berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menerima kedatangan pelabur-pelabur luar ini membuat pelaburan mereka di sini.
Beliau menambah, pelabur-pelabur luar ini juga tidak perlu bimbang malah diberi jaminan kerajaan akan mempermudahkan proses permohonan mereka untuk melabur di sini dengan mengambil langkah mengurangkan birokrasi dan `red tape’.
Menurut Nizar, kerajaan negeri Perak menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China diharap dapat memberi manfaat kepada negara ini sebagai tepat pada masanya.
“Kerajaan negeri menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir sebagai tepat pada masanya dan optimis susulan perang dagangan ini akan mengalih pelabur luar datang melabur di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, Malaysia mengikuti rapat perkembangan dunia susulan perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada negera ini dari segi peluang ekonomi.
Menurut PerdanaMenteri, antara impak itu termasuk kenaikan kos produk China di AS serta kemungkinan syarikat berkaitan China berpindah ke lokasi lain seperti di Malaysia yang tidak tertakluk kepada sekatan AS.
Pada sidang media yang sama Nizar juga memberitahu pembarita bahawa industri perlombongan bijih timah di Perak akan dihidupkan kembali susulan kenaikan harga bijih timah sekarang yang mencecah RM80,000 semetrik tan.
“Kerajaan negeri sudahpun mendapat permohonan dari pelabur luar antaranya dari China dan Australia yang berminat untuk melombong bijih timah di negeri ini,” katanya.