Dua Ahli Parlimen UMNO Khianati Mandat Rakyat – Tengku Razaleigh

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan dua ahli parlimen UMNO Perak bertindak keluar parti berikutan masalah dalaman sebagai mengkhianati mandat rakyat.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana UMNO sudah memilih mereka untuk memberi khidmat kepada rakyat di kawasan mereka.

Menurut beliau, apa yang sangat menyedihkan kerana UMNO sudah memilih mereka untuk memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan mereka tetapi mengkhianati mandat yang diberikan.

Justeru, katanya lagi, beliau akan cuba berbincang dengan dua wakil rakyat berkenaan dalam masa terdekat.

“Kita tak mahu perkara itu berlaku, kita tidak mahu dan kalau boleh kita mahu semua 54 Ahli Parlimen UMNO yang ada terus kekal” katanya kepada pemberita pada majlis Ramah Mesra Tengku Razaleigh Hamzah bersama UMNO Perak di Hotel Impiana, Ipoh malam tadi. Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pimpinan UMNO negeri.

Tengku Razaleigh diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Nor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussein Hafiz Syed Abdul yang meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dan keluar parti serta menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Mengulas mengenai rampasan barangan kemas dan pelbagai barangan di rumah dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggarkan mencecah RM1.1 bilion, Tengku Razaleigh berkata, perkara itu tidak menjejaskan UMNO.

“Saya tidak fikir isu itu akan menjejaskan kita, ia tidak akan menjejaskan parti kerana kita juga mendengarnya melalui media,” katanya.