Dua Bangunan Di KL Diletak Di Bawah PKPD

Reading Time: < 1 minute

Foto oleh Sin Chew Daily

KUALA LUMPUR | Dua lokasi terbaru diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang keempat iaitu Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India di sini.

Difahamkan kebanyakan penduduk di dua blok bangunan lapan tingkat tersebut yang turut mempunyai beberapa rumah kedai didiami warga asing.

Tindakan itu diputuskan oleh kerajaan selepas 15 orang dari kawasan itu didiagnosis positif koronavirus (covid-19).

Kakitangan keselamatan dilihat sedang memasang kawat berduri di sekitar kawasan itu.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKPD di kawasan itu melibatkan kira-kira 6,000 penduduk dalam 365 unit kediaman dan komersil di bangunan.

Perintah ini berkuat kuasa mulai 7 April 2020 sehingga semua penduduk disaring.

Sehingga kini, PKPD telah dikuatkuasakan di tiga kawasan iaitu Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, serta Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam.

Di bawah PKPD, semua bukan pemastautin dan pengunjung dilarang masuk atau keluar dari kawasan tersebut. Semua aktiviti perniagaan juga ditutup.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian hotline pusat operasi DBKL yang ditetapkan di 03-4026 7222 atau 016-296 2982,” katanya.