Faizal Dedah Ramai Lagi Pegawai Kanan GLC Akan Dipecat

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak terus menunjukkan ketegasannya dalam menyelamatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikenalpasti menanggung kerugian di bawah pentabiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Ketegasan tanpa kompromi lagi dengan mana-mana pegawai kanan dalam GLC setelah syarikat didapati berbelanja melebihi yang sepatutnya sehingga tidak masuk akal bukti ketelusan kerajaan di `mata’ rakyat pada hari ini.

Baru tiga hari lalu Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pemecatan tujuh pegawai eksekutif sebuah GLC daripada beberapa GLC kerana berbelanja melebihi yang sepatutnya dan dianggap tidak masuk akal.

Beliau berkata, pemecatan semua tujuh pegawai eksekutif itu dibuat susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Hari ini Ahmad Faizal menegaskan kerajaan negeri akan bertindak memecat ramai lagi pegawai kanan dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tempoh terdekat. Katanya, tindakan tegas ini diambil bagi menyelamatkan syarikat GLC berkenaan daripada terus menanggung kerugian.

“Saya tidak boleh berikan bilangan yang akan terlibat, ia bukan mudah kerana jika kita menukar pegawai pegawai ini, mereka mempunyai kontrak.

“Jika saya terburu-buru untuk mengambil tindakan menukar pegawai, ini akan menyulitkan kewangan syarikat juga dengan perlu membayar pampasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis serahan RM 500,000 untuk Tabung Harapan oleh Unisem Group di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan pada hari ini, Ahmad Faizal mengalu-alukan sumbangan itu sambil berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menyumbang kepada Tabung Harapan.

“Terima kasih kepada Unisem yang bukan hanya memberikan peluang pekerjaan begitu banyak kepada rakyat, tetapi juga menyumbang dari segi kewangan kepada negara,” katanya