Gabungan PH Perak Tetap Utuh, Tiada Perbalahan – MB

Reading Time: 2 minutes

Sejak isu hakmilik tanah kekal melanda Perak baru-baru ini, terdengar suara sumbang yang membuat spekulasi kononnya kerajaan Pakatan Harapan sedang kucar-kacir dan tidak sependapat atau satu pendirian dalam hal itu.

Apa yang berlaku sebenarnya tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. Kerajaan negeri gabungan pelbagai parti antara Bersatu, DAP, Amanah dan PKR tetap utuh dan berdiri teguh sentiasa bersama dalam membuat keputusan.

Itu dinyatakan oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan perasmian Pusat Khidmat Kawasan Parlimen Tambun di Meru, Ipoh pada Ahad.

“Kerajaan negeri Perak adalah kerajaan yang ‘very intact’ (sangat utuh), tiada gaduh².

“Apa yang berlaku sebenarnya, kami baru 3 bulan jadi exco dan Menteri Besar, jadi kadang² Menteri Besar tidak tahu bila nak tutup mulut, Exco pun kadang² tak tau bila nak bercakap. Itu saja masalahnya,” jelas Ahmad Faizal.

Beliau sudah berbincang dengan rakan-rakan di kalangan anggota Exco kerajaan dan menyatakan bahawa adakalanya ada perkara yang boleh dibuat kenyataan secara umum kepada orang awam dan ada perkara yang perlu dibawa ke mesyuarat.

Beliau menambah bahawa hubungan di kalangan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri adalah cukup baik dan tiada apa² masalah.

Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan Perak komited untuk melaksanakan semua janji-janji dalam manifesto pilihanraya, namun untuk melaksanakan janji-janji tersebut, ia perlulah selari atau mematuhi perlembagaan.

Berkenaan isu hak pemilikan tanah, beliau sedang dalam proses untuk memanggil satu ‘bengkel’ mengumpulkan ahli-ahli politik dan pakar-pakar undang-undang dan perlembagaan agar dapat mengemukakan pandangan mereka dan kerajaan akan bertindak sebagai fasilitator mencatit segala pandangan yang diberikan. Selanjutnya, segala pandangan itu akan dibentangkan di dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara pada bulan November nanti dan biarkan kepimpinan tertinggi yang membuat keputusan yang paling tepat untuk rakyat.

Beliau turut berjanji akan pastikan tanggungjawab kepada parti, kepada manifesto, kepada agama, bangsa dan tanahair sentiasa dipegang kuat dan tidak akan berkompromi dalam hal itu.