Kerajaan Perlu Berhati-Hati Isu GLC – MB

Reading Time: 2 minutes

IPOH – Menteri Besar, Ahmad Faizal menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak mahu bertindak kejam dengan memecat pengarah-pengarah syarikat berkaitan kerajaan.

Menurutnya, ia bukan fokus utama kerajaan Pakatan Harapan negeri Perak sejak mengambil alih pemerintahan selepas memenangi pilihanraya umum lalu.

Malah menurutnya lagi, kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan agar tidak merugikan syarikat GLC itu sendiri.

“Nak memujuk Ketua-ketua Eksekutif supaya mereka letak jawatan satu hal, masing-masing ada kontrak, kalau kita pecat kita kena bayar jutaan ringgit, saya tak boleh buat kerja macam tu,” katanya semasa berucap merasmikan Pusat Khidmat Kawasan Parlimen Tambun di Meru, Ipoh pada Ahad.

Beliau turut menjelaskan bahawa ramai penjawat jawatan dalam syarikat GLC telah ditukarkan cuma terdapat beberapa syarikat yang masih lagi melalui proses penstrukturan semula dan kerajaan memerlukan masa untuk memujuk mereka meletak jawatan.

“Kita kerajaan yang bertanggungjawab. Kalau saya pecat seorang Ketua Eksekutif yang masih lagi mempunyai kontrak lagi 2 tahun atau 20 bulan yang mempunyai gaji seratus ribu sebulan, kerajaan atau syarikat kena bayar balik baki kontrak berkenaan jutaan ringgit, maka ini akan merugikan syarikat milik kerajaan,” jelas beliau.

“Perkara pertama yang saya buat adalah dengan memotong elaun pengarah syarikat.

“Syarikat hutang ratus juta, tiba-tiba elaun atau bonus tahunan dia ratus ribu seorang pengarah. Jadi, hari AGM yang pertama waktu saya jadi Menteri Besar, saya terus potong dari 120 ribu kepada 2 ribu,” katanya.

Beliau berkata itu adalah lebih baik meskipun syarikat mengalami kerugian, setidak-tidaknya pengarah-pengarah itu tetap dibayar bonus walaupun sedikit.

Dalam usaha kerajaan untuk membina negara baru, membetulkan segala kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu, beliau memohon kepada para penyokong Pakatan Harapan supaya memberi sedikit masa dan memohon setiap orang supaya bersabar.