Gimik Politik `kitar semula’ Pembangkang Tidak Beri Kesan Kepada Pelabur

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Dato’ Seri Mohammed Nizar Jamaluddin menganggap gerakan mahu menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dimainkan pihak pembangkang sebagai isu `kitar semula’ yang tidak memberi kesan kepada pelabur yang mahu melabur di Perak.

Malah menurut beliau, dalam tempoh sembilan bulan kerajaan PH memerintah menunjukkan sudah ada peningkatan dalam pelaburan negeri.

Katanya, mengikut laporan setakat sehingga hujung tahun lalu nilai pelaburan adalah RM2.4 bilion.

“Ini memberi penunjuk bahawa pelabur meletakkan keyakinan penuh kepada kerajaan baru sedia ada.

“Sejujurnya  ia gimik politik yang dilakukan pembangkang…memang tidak memberi kesan kepada keyakinan pelabur yang datang ke Perak.

“Semua ini adalah gimik politik mereka (pembangkang) … dikalangan ahli perniagaan sudah sedia matang dan semua berita (khabar angin) yang kamu dengar sekarang tidak akan memberi kesan kepada keyakinan mereka terhadap kerajaan,’’ kata Nizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Negeri Perak.

Nizar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kolaborasi Perdagangan Perak-China di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Nizar berkata, mereka (pelabur) mengetahui kerajaan PH sedang menjalankan pentadbiran negeri sejak sembilan lalu dalam keadaan yang baik.

“Sebab itu mereka melebarkan lagi industri sedia ada di negeri ini,’’ katanya.