Gubal Akta Khusus Tangani Isu Bendera

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Exco Pendidikan negeri Perak yang juga pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari mencadangkan agar Parlimen menggubal akta khusus untuk Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri dalam Persekutuan.

Dia yang juga Naib Pengerusi DAP Perak Perak berpendapat akta yang dicadangkan itu perlu untuk menjelaskan bentuk, warna dan cara memasang Jalur Gemilang.

Katanya, langkah itu perlu untuk mengelakkan isu-isu remeh terus dibangkitkan dan dipolitikkan oleh pihak tertentu.

“Saya mencadangkan pihak Kerajaan membawa satu rang undang-undang di Parlimen yang secara khusus menangani Jalur Gemilang.

“Ada yang memberi respon kepada saya beberapa peruntukan undang-undang yang ada, tetapi saya fikir undang-undang itu tidak jelas dan bercerai-cerai.

“Dengan perkembangan yang berlaku ini akta khas di Parlimen dibentangkan, apa warnanya … bagaimana nak pasang dan tindakan-tindakan yang boleh dijenayahkan seperti provokasi, biadap dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, bagi bendera negeri-negeri di bawah Persekutuan perlu dibawa kepada perhatian Majlis Raja-Raja kerana melibatkan kedudukan dan hak negeri.

Sementara itu, Abdul Aziz turut mengulas kecaman yang berbangkit di media sosial berhubung kenyataannya mengenai isu Jalur Gemilang semalam.

Katanya, perkara itu berlaku akibat kekeliruan dan dia juga mendakwa kenyataannya disalah ertikan.

“Kenyataan saya telah di cut and paste ataupun diambil di luar konteks, saya mengatakan bahawa apa kena mengena pasang bendera terbalik dengan menghina atau derhaka kepada Yang Dipertuan Agong?

“Itu soalan saya sebagai respon, keduanya saya katakan kita jangan menyusahkan polis dengan report seperti ini … saya fikir asasnya agak kabur … saya tak suruh pun pasang bendera terbalik,” katanya lagi.

Semalam, Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata tiada undang-undang yang menyatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu kesalahan.

Dia menganggap isu berkenaan sebagai kecil dan terpencil, tetapi menjadi panas apabila disebarkan menerusi media sosial.