Kontraktor Kecil Seluruh Perak Gesa Kerajaan Mansuh Syarikat Konsesi

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Jawatankuasa Bertindak Kontraktor negeri Perak mahu semua syarikat konsesi di negara ini dibatalkan demi membela nasib para kontraktor kecil.

Menurut wakil jawatankuasa itu, Saffaruddin Ari, kewujudan syarikat konsesi telah mengakibatkan ramai kontraktor kecil kehilangan projek dan menjejaskan mata pencarian mereka.

Saffaruddin mencadangkan kesemua projek diberikan semula kepada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan PBT kerana mereka lebih arif dan ditauliahkan oleh kerajaan sendiri sebelum ini.

“Inilah suara yang mewakili kontraktor dari seluruh negeri Perak yang menerima bebanan bila berlakunya konsesi yang diputuskan oleh kerajaan Malaysia terutama kerajaan negeri Perak.

“Kita menganggap konsesi yang diberikan ini tidak memberi ruang kepada kontraktor-kontraktor di peringkat negeri ini.

“Tujuan kita serahkan memorandum ini adalah supaya kerajaan memikirkan balik keperluan konsesi kepada syarikat-syarikat yang besar ini kerana kita sedia maklum ramai kontraktor yang kena overlap … dengan CIDB pun kena bayar, dengan agensi kerajaan pun kena bayar, kemudian nak renew pun kena bayar, semuanya kena bayar, tetapi kerja belum tentu lagi (diperolehi),” ujarnya.

Katanya lagi, konsesi yang ada ini hanya mengambil untung atas angin dengan hanya menguruskan sahaja padahal kerja meluluskan akan kembali kepada Perbendaharaan ataupun pihak JKR atau JPS.

Sementara itu, Saffaruddin mempertikaikan tindakan kerajaan membuka kembali pendaftarkan kontraktor G1 dalam situasi kekurangan kontrak kerja yang dikeluarkan buat masa ini.

“Ini sekaligus akan menyaksikan pertambahan kontraktor … ini bukan soal persaingan, ini soal teraniaya.

“Masalah golongan muda yang baru yang tidak ada pengalaman nak berniaga tidak dapat nak bersaing dengan kontraktor sedia ada.

“Kerajaan sepatutnya memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan masalah kontraktor G! yang sedia ada ini yang masih tidak ada pekerjaan (kontrak),” katanya kepada pemberita pada perhimpunan Malaysia Baharu Mansuh Konsesi Baharu Dilantik Di Pihak Berkuasa Tempatan dan serahan Memorandum kepada kerajaan negeri Perak, di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Memorandum itu diterima oleh Pegawai Khas Menteri Besad Perak, Khairul Shahril Amin yang kemudian memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu untuk tindakan lanjut.