Hutan di Bukit Bendera Terbakar Lagi

Reading Time: 2 minutes

Gambar hiasan

GEORGE TOWN, 8 Feb  — Kejadian kebakaran di kawasan hutan di Bukit Bendera, dekat sini tiga hari lepas, berulang awal pagi ini membabitkan kawasan kira-kira 0.4 hektar, namun kebakaran itu dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pukul 6.35 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata 50 anggotanya yang dikejarkan ke lokasi kejadian, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.09 pagi, namun berhadapan kesukaran kerana perlu mendaki lebih dua kilometer, berikutan tiada laluan untuk kenderaan atau jentera ke kawasan kebakaran.

“Ketika tiba di lokasi, kebakaran hutan itu dianggarkan berkeluasan 0.4 hektar dan terbakar secara ‘bertompok-tompok’, kami membuat kerja pemadaman menggunakan pemerap api serta penembak jet dengan membuat ‘fire break’ bagi mengelakkan api merebak lebih luas,” katanya sambil berkata operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kawasan tersebut.

Selasa lepas, lebih enam hektar kawasan hutan di antara Bukit Bendera dan Kek Lok Si, dekat sini terbakar dalam kejadian pukul 7 malam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya yang menerima satu lagi panggilan kecemasan pada 9.38 pagi tadi mengenai kebakaran di kawasan Stesen 15 trek mendaki Bukit Jambul, turut berhadapan kesukaran apabila terpaksa mendaki sejauh setengah kilometer, berikutan tiada laluan masuk ke lokasi.

Sehingga pukul 2 petang, kerja-kerja pengawalan dan pemadaman kebakaran melibatkan beberapa batang pokok dan daun-daun kering di kawasan dianggarkan seluas 0.4 hektar, sedang dijalankan dengan dibantu PBS berdekatan.

“Pihak bomba menasihatkan orang ramai terutama pendaki yang mendaki bukit-bukit di negeri ini agar tidak membuat pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok di kawasan hutan, berikutan ia mudah terbakar terutama ketika musim panas sekarang ini,” katanya sambil berkata punca kebakaran kedua-dua hutan masih disiasat.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Datuk Cheok Lay Leng menasihati pengunjung dan penduduk di kawasan Bukit Bendera agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak melakukan pembakaran haram dan membuang puntung rokok merata-rata.

“Kami memang jaga tempat pelancongan ini. Kami sentiasa nasihatkan pengunjung mahupun penghuni di sini jangan buat ‘camp fire’ dan sebagainya malah dron pun tidak boleh digunakan di kawasan ini. Kami juga pantau kebakaran yang berlaku, sebab bimbang angin tiup dan api merebak ke sebelah kanan ke arah kawasan pelancongan utama,” katanya.

— BERNAMA