Istilah Kerajaan “Pintu Belakang” Suatu Hasutan

Reading Time: < 1 minute

Ungkapan ‘kerajaan pintu belakang’ merupakan satu hasutan yang menimbulkan kebencian terhadap kerajaan semasa, menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya lagi, mereka yang menggunakan ungkapan itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan kerana kerajaan yang telah dibentuk adalah sah mengikut perlembagaan.

“Terdapat pihak-pihak yang kecewa dengan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan istilah kerajaan pintu belakang kepada kerajaan hari ini.

“Semua perkara dan istilah dalam pembentukan negara perlu dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan bagi menentukan keabsahan sesuatu perkara itu.

“Dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, tidak terdapat pun istilah Kerajaan Pintu Belakang, jadi sudah tentu penggunaan istilah ini adalah tidak tepat serta tidak berperlembagaan.,” katanya menerusi hantara di laman sosial Facebook.

Katanya lagi Perlembagaan Negara dengan jelas membenarkan pertukaran Perdana Menteri atau pembentukan kerajaan apabila PM atau kerajaan memerintah telah tidak mendapat sokongan majoriti ahli dewan dan perkara tersebut termaktub dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini perubahan kerajaan secara begini pernah berlaku di Terengganu, Kelantan dan Perak pada peringkat negeri dan ini merupakan kali pertama berlaku di peringkat Persekutuan.

“Apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan terdapat kekosongan jawatan PM, serta semua barisan Jemaah Menteri yang dibentuk oleh Dr Mahathir akan gugur dengan sendiri dan negara tiada berkerajaan lagi.

“Kita semua dapat melihat proses pembentukan semula kerajaan Persekutuan apabila kerajaan dibentuk dengan perlantikan Tan Sri Muhyiddin oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” tulisnya.