Ada sesuatu yang tertinggal. Warga Tambun, di bawah kawasan Parlimen Ahmad Faizal Azumu, Menteri Besar Perak nampaknya seperti masih sayangkan bekas ahli Parlimen Tambun, Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Ini kerana kain rentang majlis perasmian Dewan dan Perpustakaan 1 Malaysia Tambun yang telah lebih setahun berlalu masih tidak ditanggalkan. Di kain rentang tersebut, tertera potret Husni dan tarikh majlis iaitu pada 20 Mei 2017, pada hari Sabtu dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah, ‘Ahli Parlimen Tambun’.
Tidak pasti adakah komuniti di sini tidak sedar atau terlepas pandang dengan kain rentang tersebut atau mereka menganggap ia cuma masalah kecil. Ironiknya, terdapat papan tanda kecil di sebelah kiri menyatakan bahawa dewan itu di bawah bidang kuasa dan diuruskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh.
Adakah tiada seorangpun di kalangan anggota majlis bandaraya Ipoh yang ambil kisah tentang hal ini? Bayangkan jilka ada pihak atau individu yang ingin menyewa kemudahan dewan untuk mengadakan acara persendirian di situ seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. Para tetamu ‘disambut’ dengan poster gambar Ahmad Husni. Kain rentang bukan plak yang mempunyai tandatangan Husni di atasnya. Ia sudah lama di situ dan patut diturunkan segera.
Parlimen Tambun tidak lagi disandang oleh Ahmad Husni setelah beliau mewakili kawasan itu sejak beberapa penggal. Beliau tewas kepada Ahmad Faizal Azumu dalam Pilihantaya ke-14 yang lalu dengan majoriti 5320 undi.