Bulatan Amanjaya Meru Akan Ditukar Nama Jadi Pusat Penganjuran Acara Bertaraf Dunia

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menukar nama Bulatan Amanjaya Meru dengan nama lain dalam rangka strateginya untuk menjadikan lokasi itu sebagai pusat penganjuran acara berskala besar dan bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, untuk itu kerajaan negeri akan merangka pelan pembangunan di kawasan berkenaan bagi memastikan ia terus meriah dengan kehadiran orang ramai.

Menurut beliau, selain sebuah taman tema air yang sedang dirancang untuk dibina di kawasan tersebut, kerajaan negeri juga berminat untuk meneruskan perancangan pembinaan lebih banyak hotel, kawasan perumahan dan pusat membeli-belah.

Ahmad Faizal menegaskan, ia merupakan perancangan yang telah diatur kerajaan pimpinan sebelum ini namun atas sebab kepincangan pentadbiran menyebabkan ia gagal dilaksanakan.

“Apa yang sedang diusahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan kerajaan negeri, kita akan usahakan segala perancangan yang baik-baik, tanpa kita buat hutang, menyusahkan syarikat berkaitan kerajaan negeri dan menyusahkan kerajaan negeri,’’ katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap merasmikan Jamuan Jalinan Mesra Gabungan Usahawan Meru Raya di Rumah Kutai Bandar Meru Raya, malam tadi. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Beliau turut memberi komitmen kerajaan negeri untuk membantu para peniaga dan usahawan bumiputera terutama golongan muda di sekitar Bandar Meru Raya sekaligus menjadikan kawasan bandar berkenaan sebagai pusat aktiviti ekonomi bumiputera.

Ahmad Faizal juga mengharapkan para usahawan bumiputera terbabit dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk membantu yang lain selain menyediakan latihan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

Terdahulu YB Asmuni Awi dalam ucapannya berkata, langkah pengecilan jawatan bagi penjawat awam yang diambil kerajaan sekarang tidak seharusnya menjadi penghalang bagi golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan.

Katanya, ini kerana bidang perniagaan mampu menjana mendapatan lebih kepada mereka yang benar-benar komited untuk menjadi seorang peniaga dan usahawan yang berjaya. Beliau memberikan contoh di kawasan Meru Raya ketika ini dimana pembabitan orang Melayu dalam perniagaan semakin ramai dan amat membanggakan.