IPOH: Kementerian Pendidikan digesa menyiapkan kertas kerja berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk dibentangkan di dalam Parlimen bagi melenyapkan kekeliruan berterusan rakyat terhadap cadangan pengiktirafan UEC.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi dan Penerangan, Dr Abdul Aziz Bari, kertas kerja itu amat penting dibentangkan dan bukan hanya sekadar di luar dari Dewan Rakyat.
“Kita tidak mahu ia gagal seperti Dasar Ekonomi Baru… Ia tidak pernah dibentangkan di dalam Parlimen kerana Parlimen adalah tempat yang wajar diumumkan.
“Bukan hanya sekadar diumumkan dalam surat khabar, temu ramah dan sebagainya.’’ katanya.
Aziz berkata, beliau kurang bersetuju dengan kenyataan Mufti Perak,Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang mengaitkan isu tersebut dengan soal perpaduan masyarakat. Beliau menegaskan, pelaksanaan UEC seperti yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum Ke-14 merupakan soal keperluan umum.
Katanya, usaha ke arah pelaksanaan janji tersebut juga tidak langsung bertentangan dan menggugat kedudukan Bahasa Melayu seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan negara.
“Ini bukan soal Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin dan sebagainya… Ini juga bukan soal anti mana-mana bangsa.
“Sebagai contoh di Perak, sudah ada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang majoritinya Melayu… Jadi, isu UEC, bahasa ini jangan dipolitikkan.
“Soal perpaduan yang disebutkan Tan Sri itu saya kurang setuju. Ertinya, pejabat Mufti seharusnya tidak terlalu cepat untuk ‘jump on the bandwagon’,” kata Aziz kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Beliau turut menjelaskan pandangan yang mengatakan perlaksanaan UEC memberi kesan kepada perpaduan masyarakat juga adalah dakwaan yang tidak mempunyai asas. Sehubungan dengan itu, katanya, semua pihak harus ke hadapan, realistik dan berpandangan luas dalam mengulas isu ini.