Kembalikan Mandat Asal Bukan PRU – Mujahid

Reading Time: 2 minutes

1. Kenyataan Sekretariat PH pada 5 Feb baru-baru ini tepat pada masanya mengingatkan TSMY agar tidak tergesa-gesa membubarkan parlimen untuk PRU ke 15. Pembubaran wajib hanya berkuatkuasa pada tahun 2023. Dengan TSMY kehilangan majoriti adalah wajar dikembalikan kepada yang ada majoriti demi menghormati lunas demokrasi berparlimen dan kestabilan politik.

2. Niat TSMY mahu mengadakan PRU awal terserlah dengan beliau memulakan langkah menasihati YDPA keperluan Darurat. Darurat atas nasihat PM yang tiada majoriti adalah semata untuk menggantung Parlimen supaya undi tidak percaya kepada beliau tidak boleh dilakukan oleh ahli-ahli parlimen di dalam dewan. Atas niat itu, seluruh sistem semak imbang legaslatif digadaikan demi menyelamatkan diri dan gerombolan tebuk atap mereka.

3. Selain daripada itu, tujuan Darurat agak kabur kerana untuk kendalikan masalah pendemik, PKP telah pun dilaksanakan tanpa perlu lesen Darurat. Negara telah pun menjalani beberapa siri PKP, PKPB, PKPD yang mampu mengawal keadaan dengan pihak kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan yang lebih ketat dan berkesan.

4. Parlimen yang digantung menutup ruang kepada berbagai isu yang mendesak seperti perjanjian vaksin, siapa yang mendapat kontrak, berapa harga satu dos, perlaksanaan vaksinasi dll yang memerlukan ketelusan maklumat. Selain itu ialah isu pendidikan yang menampakkan ketidaktetapan dasar dan kekurangan pelan menyeluruh termasuk kemudahan infra dan isi pembelajaran semasa pendemik covid. Ini termasuk pemberian tender secara berleluasa tanpa dipertanggungjawabkan kepada semak-imbang di parlimen. Suasana Darurat membuka ruang untuk mereka menfaatkan dana dalam projek-projek yang diberikan tanpa disemak imbang.

5. Penggantungan institusi Legaslatif termasuk di negeri-negeri memperkukuhkan lagi persepsi bahawa kerajaan PN tidak mempedulikan soal lunas demokrasi dan usaha untuk memulihkannya. Selagi demokrasi tidak dipulihkan maka mengadakan PRU awal pada tahun ini tidak akan membetulkan keadaan walau siapa pun yang muncul menjadi pemenangnya nanti.

6. Kita dapat membaca tindakan TSMY dan kerajaan tanpa majoritinya sebenarnya adalah untuk mengambil peluang maksima dalam tempoh Darurat ini supaya Perikatan Nasional dapat membuat persediaan PRU ke 15 awal, dengan harapan untuk mendapat mandat baru. TSMY dan konco-konconya hanya memikirkan soal kekal kuasa tanpa mempedulikan keperluan semak-imbang dan keberkesanan menangani isu pendemik. Sebab itulah rakyat melihat kegagalan demi kegagalan menimpa kerajaan ini kerana mereka hanya fokus untuk kekalkan kuasa walaupun melanggar demokrasi dan menyalahgunakan kuasa.

7. Mari kita semua mempertahankan kepentingan rakyat dan negara dengan mendesak TSMY menumpukan kepada membina ketahanan negara dan bukan kepentingan untuk terus kekal berkuasa. Kita perlu desak supaya TSMY ambil tindakan lebih efektif dalam menangani krisis pendemik dan tuntut kepada beliau menangani kestabilan politik dengan memulihkan demokrasi terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa mahukan PRU.

8. Kedua-dua cabaran ini perlu kepada PERSETUJUAN BERSAMA atau KONSENSUS dalam menjayakan misi nasional ini. Usaha membina konsensus ini perlu digerakkan oleh rakyat dengan desakan dan tekanan kepada semua parti-parti politik agar tertumpu kepada proses sembuhkan negara terlebih dahulu dengan mengembalikan semula negara kepada landasan prinsip hukum dan asas demokratik yang kita setujui bersama.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Naib Presiden parti Amanah, ahli parlimen Parit Buntar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Catitan di atas disiarkan di laman sosial beliau pada 8 Feb 2021.