Kenyataan Berbeza Datuk Bandar dan SU Beri Imej Tidak Baik Kerajaan Negeri

Reading Time: < 1 minute

Dua kenyataan berbeza antara Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Datuk Bandar Ipoh memberi imej yang tidak baik ke atas pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, menurut Ketua Pembangkang, Abdul Aziz Bari dalam satu kenyataan pada hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tiada sebarang kenyataan oleh pihak kerajaan dan juga Exco kerajaan.

Kenyataan itu hadir selepas dua kenyataan bertentangan oleh Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin bahawa pemilik premis perniagaan wajib mengibarkan bendera negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak pada 6 Nov depan atau berdepan denda jika tidak berbuat demikian – manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim pula berkata pemasangan bendera hanya digalakkan dan tiada denda dikenakan.

“Bagi rakyat biasa khususnya pemilik premis perniagaan kenyataan tersebut perlu dilihat dalam konteks undang-undang, khususnya bidang kuasa dan penguatkuasaan, “kata Abdul Aziz.

Beliau mendakwa ini adalah satu petanda bahawa kerajaan negeri sebagaimana kerajaan persekutuan sibuk dengan konflik dalaman dan tentang hidup mati mereka.

“Kami menyeru rakyat negeri Perak untuk mengambil sikap prihatin atas apa yang berlaku. Negeri ini adalah hak rakyat, bukan segelintir ahli politik yang hanya peduli nasib dan kedudukan mereka, “tambah beliau dalam kenyataan itu.