Kerajaan Akan Pastikan Tiada Lagi Menara Telekomunikasi Haram

Reading Time: < 1 minute

SIDANG DUN | Kerajaan akan memastikan tiada lagi kegiatan memasang menara telekomunikasi secara haram di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi & Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zurkarnain Abdul Munaim menegaskan ini bagi memastikan rakyat termasuk di kawasan luar bandar benar-benar menikmati kemudahan jalur lebar dan selular dengan lebih selesa.

Beliau menarik perhatian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila mendedahkan 30 syarikat yang diberi lesen pembinaan menara telekomunikasi oleh kerajaan terdahulu telah dikesan membina menara haram.

“Justeru kerajaan negeri akan memastikan tiada lagi kegiatan pembinaan menara telekomunikasi haram ini dan seterusnya menyediakan kemudahan telekomunikasi kepada rakyat,” katanya pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Hasnul menjawab soalan tambahan Datuk Samsudin Abu Hasan (BN-Air Kuning) yang ingin tahu sejauh mana khidmat jalur lebar dan selular disediakan untuk kemudahan rakyat terutama di kawasan Tapah.