Kerajaan Bukan “Along” Tekan Pelajar Lunas Pinjaman

Reading Time: < 1 minute

SIDANG DUN |”Kerajaan bukan `along’ menekan pelajar untuk melunaskan pembayaran balik pinjaman pendidikan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri, YB Abdul Aziz Bari.

Sebaliknya menurut beliau, kerajaan amat memahami permasalahan yang dialami peminjam untuk melunaskan pinjaman mereka.

“Namun kita dapati ramai peminjam mempunyai kesedaran untuk membayar balik pinjaman mereka,” katanya pada sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut Abdul Aziz, berdasarkan laporan yang diterima, kerajaan negeri telah mengutip semula pinjaman lebih RM4.6 juta bagi tahun 2017, RM3.5 juta (2018) dan RM1.3 juta tahun ini.

Kepada soalan Datuk Muhammad Amin Zakaria (BN-Batu Kurau), Abdul Aziz berkata, kerajaan sambut baik cadangan membabitkan penjawat awam yang berkelulusan sarjana dan phd dilibatkan dalam program prasaana pendidikan.

“Mereka boleh dilibatkan dalam program penyelidikan bagi pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.