Laporan J’kuasa Kira-Kira Dedah MB Inc. Tak Pernah Diaudit

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, Leong Cheok Keng mendedahkan bahawa akaun Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) tidak pernah diaudit sejak awal penubuhannya.

Katanya, PAC berpuas hati setelah saksi-saksi yang dipanggil membuktikan bahawa tidak benar MB Inc. dahulunya ada membuat audit.

“Tidak benar bahawa dulunya telah pun ada audit akaun untuk MB Inc, hasil dapatan dari PAC mendapati semasa pendengaran akaun MB Inc. masih belum diaudit,” katanya di bilik media Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

Cheok Keng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar turut mendedahkan terdapat 17 syarikat yang meminta pemulangan semula duit yuran komitmen berjumlah RM20.6 juta daripada MB Inc.

“Sebenarnya MB Inc. tak mampu membayar dan memulangkan wang itu kerana telah dibelanjakan untuk kos operasi.

“Sekarang kita kena tanggung beban akibat pengurusan lama, dan kita sedang mencari jalan untuk rundingan dengan pelabur atau pengusaha,” ujarnya.

This image requires alt text, but the alt text is currently blank. Either add alt text or mark the image as decorative.

Beliau turut menyentuh isu penerbitan dan edaran majalah Brand Laureate yang dicetak sebanyak 3,000 naskah yang bernilai RM374,000.

“Secara keseluruhan dan jumlah naskah terbitan ialah 3,000, tapi 2,783 naskah masih tak diedarkan serta masih dalam bilik stor.

“Ini disahkan oleh pengurusan CEO MB Inc. ia masih dalam simpanan dan tak diedarkan kepada ADUN sebelum ini,” katanya.

Ujarnya lagi, PAC telah menghasilkan penjimatan RM400,000 sebulan pada tahun lepas setelah melakukan kerja-kerja rasionalisasi dan membuktikan pengurusan baharu berjaya menangani masalah pembaziran.