Kerajaan Berdepan Saman Jika Henti Pembalakan Dilulus Pentadbiran Terdahulu

Reading Time: < 1 minute

GERIK: Kerajaan negeri bakal berdepan saman tinggi sekiranya terus memberhentikan projek pembalakan yang telah diluluskan pihak pentadbiran terdahulu.

Justeru itu menurut Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, pihaknya terpaksa membenarkan projek pembalakan yang dihentikan sebentar selepas Pakatan Harapan mentadbir negeri ini.

“Saya lihat banyak kelulusan dibuat pentadbiran dahulu lagi dan kalau kita hentikan kerajaan negeri akan berdepan jumlah saman yang tinggi dan kita tidak mampu menjelaskannya.

“Bagaimanapun kita belum lagi memberikan kebenaran meneruskan projek pembalakan yang dihentikan kerana saya bersama rakan exco sedang mencari penyelesaian,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penanaman Pokok Gaharu dan Penyerahan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Pelajar Orang Asli Belum Temenggor, di Belum Rainforest Pavilion pada Khamis.

Ahmad Faizal mengakui beliau menerima tekanan pelbagai pihak untuk meneruskan projek pembalakkan di negeri ini tetapi ia masih belum diteruskan.

“Saya dapat tekanan untuk teruskannya dan sekarang saya mempunyai kekuatan sikit menahan dari teruskan seinci pokok ditebang walaupun tahu pembalakan antara hasil utama kerajaan negeri.

“Tetapi kita tak boleh tebang buat satu kawasan sahaja kerana nampak sangat rosak dan kita kena buat secara berkala dalam memelihara alam sekitar,” katanya.