Perak Komited Pelarasan 99 Tahun Untuk Semua Perkampungan

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan negeri Perak komited untuk membuat pelarasan kepada 99 tahun untuk semua perkampungan Melayu, Cina dan India.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan mengambil langkah ini demi kepentingan semua kaum di negeri ini.

“Bagi kerajaan negeri, apa yang kita boleh buat adalah memberi pajakan 99 tahun kepada semua kawasan penempatan bukan sahaja Kampung Baru tetapi semua penempatan perkampungan orang Melayu dan kaum India.

“Mungkin ramai tidak tahu banyak perkampungan Melayu sendiri, pajakannya lebih pendek sekitar 60 tahun berbanding 99 tahun Kampung Baru.

“Jadi kerajaan negeri komited untuk membuat pelarasan kepada 99 tahun untuk semua perkampungan Melayu, Cina dan India.

“Rumah adalah keperluan asas semua manusia dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengambil kira kepentingan semua kaum,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pengamal media Perak di kediaman rasmi (lama) Menteri Besar, Ipoh malam tadi.

Ahmad Faizal seterusnya berkata, malah kerajaan negeri mahu membuka lebih banyak penempatan baru untuk semua kaum di negeri ini.

“Ini adalah komitmen kita…. malah dalam Islam, pemerintah mesti berlaku adil kepada semua kaum,’’ ujarnya.

Mengenai dakwaan salahguna kuasa dan ketirisan dalam GLC, Ahmad Faizal menjelaskan, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa termasuk SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Jika ada bukti, pihak yang berkuasa akan ambil tindakan undang-undang. Jadi dalam hal ini jika kerajaan negeri tidak ambil tindakan kita akan dituduh tidak bertegas…. jika ambil tindakan kita dituduh sebagai membalas dendam,’’ katanya.

Beliau menyebut sebagai contoh dalam MB Inc. didapati banyak perjanjian yang meragukan, yang berat sebelah tidak menguntungkan kerajaan negeri. Katanya, banyak yang berlaku ini menyebabkan ketirisan dan apa yang kerajaan lakukan ialah mengkaji semula serta menamatkan perjanjian yang terlalu membebankan MB Inc. dan kerajaan.

Ditanya sejauh mana pertukaran pegawai kanan GLC negeri seperti PKNP berjaya memulihkan keadaan syarikat dan kedudukan kewangannya, Ahmad Faizal berkata, beliau ada maklumat yang bukan sahaja mengejutkan malahan menyedihkan.

Menurut beliau, PKNP sebagai anak syarikat terbesar kerajaan negeri kini mempunyai hutang keseluruhan RM600 juta.

“Kita dapati banyak ketirisan berlaku, perjanjian tanah yang tidak menguntungkan PKNP, pembelian yang terlalu mahal berbanding harga pasaran.

“Gaji pegawai atasan yang terlalu tinggi malahan setaraf dengan gaji eksekutif kanan GLC besar seperti PETRONAS tapi PKNP berhutang dan tidak menjana keuntungan.

“Kita telah mengkaji semula perjanjian sedia ada dan melaksanakan sistem bidaan untuk pajakan tanah dan sebagainya. Tiada lagi pajakan lima tahun tetapi syarikat berkenaan gagal menjalankan projek dan ini tidak membantu meningkatkan hasil PKNP.

“Kita mahu GLC semua buat keuntungan tetapi pada masa yang sama kembali kepada tujuan asal penubuhan kerana sekarang banyak yang bersaing sesama sendiri dan syarikat swasta,’’ katanya.