Kerajaan Negeri Arah Henti Aktiviti Pembalakan Kpg Cunex

Reading Time: < 1 minute

Kerajaan negeri Perak komited untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan adil dalam mempertahankan hak-hak dan kepentingan komuniti Orang Asli Kampung Cunex, Gerik.

Satu mesyuarat telah diadakan pada 31 Julai 2019 antara menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dengan disaksikan oleh Peguam Negara bagi membincangkan isu Orang Asli di Kampung Cunex.

Ekoran dari pertemuan itu, satu kenyataan bersama oleh Menteri Besar Perak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah dikeluarkan pada hari ini iaitu kerajaan Persekutuan dan Negeri akan bekerjasama menyelesaikan isu-isu berkaitan komuniti Orang Asli. Kedua-dua jabatan itu memandang hak-hak Orang Asli sebagai perkara yang serius.

Dalam masa yang sama, Menteri Besar Perak telah mengarahkan semua aktiviti pembalakan di kawasan yang terlibat dihentikan buat sementara sehingga proses perbincangan diadakan antara kerajaan negeri dengan komuniti Orang Asli.

 Bloked yang dibuat oleh Orang Asli Kampung Cunex

Sebelum ini, aktiviti pembalakan di Perak terutama di Kampung Cunex sering menimbulkan konflik kepentingan di antara syarikat pembalak dengan Orang Asli. Penduduk Orang Asli mendakwa tanah yang mereka warisi sejak turun-temurun telah diceroboh akibat aktiviti pembalakan. Syarikat pembalakan pula mendakwa mereka memiliki permit membalak yang diluluskan oleh kerajaan negeri.