Kerajaan Perak `Cuci, Bersih, Padam’ Stigma Negatif Masyarakat Kolej Vokasional Kelas Dua

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak mengambil pendekatan berbeza berbanding kerajaan terdahulu dalam usaha melahirkan ramai tenaga mahir keluaran kolej-kolej vokasional untuk memenuhi pasaran kerja di sektor industri di negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, pendekatan yang diambil adalah menyuci, membersih dan memadamkan stigma negatif dalam pemikiran masyarakat selama ini yang menyamakan kolej dan sekolah menengah vokasional hanya bertaraf kelas dua berbanding lulusan akademik lain.

Katanya, tanggapan negatif ini perlu dipadamkan kerana dalam senario pembangunan negara ketika ini amat memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan dan teknikal bagi memenuhi permintaan pelabur asing yang datang melabur di sini.

“Mana-mana negara maju seperti Eropah dan Jepun rakyat mereka (penduduknya) asal-usulnya terdedah kepada program vokasional dan di Malaysia pula yang telah melaksanakan program seperti ini adalah sekolah-sekolah menengah vokesional dan kini kolej-kolej vokasional.

“Jadi kita kerajaan Pakatan Harapan Perak hari ini menjalin kerjasama dengan pelabur-pelabur asing bagi memenuhi permintaan mereka yang memerlukan tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan dan teknikal,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pelajar 2018 Kolej Vokasional Lebuh Cator, Ipoh di Dewan bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Sabtu.

Menurut Nizar, setakat ini terdapat 10 kolej vokasional di negeri Perak dan diharapkan graduan keluaran kolej-kolej ini dapat membantu memenuhi permintaan pelabur tersebut.

Namun begitu beliau menjelaskan, kerajaan PH Perak tidak sewenangnya menerima kemasukan pelabur kerana kemasukan mereka dibuat mengikut kriteria yang ditetapkan dan perlu dipatuhi pelabur berkenaan.

“Mereka (pelabur) perlu tenaga mahir buat sementara waktu sahaja sebab itu apabila kita masukkan pelabur, kita akan lihat apa kriteria…apakah ia penuhi kriteria kita?.

“Kadang-kadang pelabur hendakkan satu bentuk tenaga mahir jadi kita beritahu mereka kita belum ada tenaga mahir tetapi kalau mereka sedia memberikan latihan secara sistematik sama ada dalam dan luar negara maka kita akan meraikan mereka dengan harapan akhirnya berlaku pemindahan teknologi kepada anak-anak watan.

“Kita tidak beri masuk sebarangan, kalau kita tidak buat tapisan macam-macam industri akan masuk… Ia tidak memberi manfaat kepada negeri Perak, kita nak pindahkan teknologi ini dalam masa sesingkatnya.

“Dengan adanya latihan kolej-kolej vokasional ini, tenaga mahir yang dilahirkan dapat memenuhi kehendak pelabur-pelabur ini. Inilah pendekatan pada hari ini yang diambil kerajaan Pakatan Harapan Perak,’’ ujarnya.