PATC Anjur Majlis Taaruf Dengan Persatuan Sepaktakraw Seluruh Perak

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Perak Sepaktakraw Club (PATC) membuat pendekatan proaktif dengan menganjurkan majlis bertaaruf ( Mengenali) dengan semua Persatuan daerah Sepaktakraw di negeri Perak di Pejabat Parlimen Tambun pada Sabtu.

Menurut Setiausaha Agung PATC, Mohd Syamsi Ab Junid majlis ini ialah bertujuan untuk berkenalan sambil mengeratkan hubungan di mana semua Persatuan Sepaktakraw Daerah dan Pihak MSN dijemput dalam majlis ini. Turut hadir dalam Majlis ini juga beberapa pemain lagenda Negeri Perak.

Beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama Pejabat Parlimen Tambun melalui Pegawai Khas Kanan Encik Baddrul Halim Abdul Wahab bagi menjayakan Majlis ini.

Dalam Majlis ini juga diadakan dialog serta bertukar pandangan tentang perkembangan mutakhir Sepaktakraw dan bagaimana program Sepaktakraw di Negeri Perak boleh digerakkan ke arah yang lebih tersusun dan berstruktur.

Menurut Pengerusi Sepaktakraw Daerah Slim River, Mohamad Nopiah, majlis ini cukup bermakna kerana dapat mengumpulkan wakil wakil sepaktakraw Daerah untuk membincangkan masa depan sukan sepaktakraw di Negeri Perak.

“Majlis sebegini belum pernah dibuat sebelum ini.

“Pembaharuan wajib dilakukan dengan meletakkan pimpinan yang mampu berfikir memacu kemajuan Sepaktakraw di Negeri Perak ini.

“Berundurlah , yang dok ada lama sangat dah,” kata beliau.

Pengerusi Persatuan Sepaktakraw Daerah Kerian, Mohamad Noor berkata kejohanan perlu diperbanyakkan bagi melahirkan pemain pemain yang mampu menjadi pelapis dan seterusnya dapat menggalas tanggungjawab mewakili Negeri dan Negara. 

Pandangan yang sama disuarakan oleh Setiausaha Sepaktakraw Perak Tengah, Ashman Hj Ahmad. Menurutnya, usahasama dengan semua Persatuan Daerah adalah penting bagi menwujudkan program pembangunan di semua peringkat. Beliau rasa terkejut bila mendapat tahu pendaftaran persatuan sepaktakraw negeri Perak sudah dibatalkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Turut hadir pada Majlis Taaruf PATC ialah wakil dari Pasukan Sepaktakraw Libas SUK Mohd Jaffery. Beliau berkongsi pengalaman penglibatan menguruskan pasukan Sepaktakraw untuk kejohanan kebangsaan.

“Pemain Sepaktakraw sebenarnya mudah untuk diuruskan tak banyak karenah,” katanya. 

Menurut Presiden PATC, Sham Fairuz, PATC akan terus berperanan sebagai pemudah cara untuk menggerakkan program demi manfaat bersama sukan sepaktakraw di negeri Perak.

“Elakkan persepsi kolot dan tohmahan negatif sesama penggiat takraw kerana ini adalah langkah pandang ke belakang,” ujar Sham.

PATC sudahpun merangka beberapa cadangan untuk pembangunan sukan sepaktakraw Perak kepada kepimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan selaras dengan cita-cita untuk menjadikan negeri Perak sebagai hab sukan terkenal di Malaysia.