Kemenangan Besar Anwar Beri Sinar Harapan Baru Masyarakat Orang Asli – Datuk Ramesh

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

PORT DICKSON: Aktivis dan Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Datuk Ramesh Arumugam Chettiar menyifatkan kemenangan besar Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sebagai memberi sinar harapan baru kepada masyarakat orang asli di Malaysia.

Beliau berkata, kemenangan ini amat jelas membuktikan bahawa Pakatan Harapan telah menyakinkan semua kaum Melayu, Cina, India termasuk kelompok kecil orang asli di negara ini.

“Saya anggap kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperolehi kemenangan besar pada PRK Parlimen Port Dickson ini adalah sememangnya ditakdirkan.

“Ini adalah kemenangan rakyat…Perjuangan yang dilalui Datuk Seri Anwar begitu lama melampaui 20 tahun akhirnya dinobatkan sebagai ahli parlimen dan bakal Perdana Menteri ke-8.” katanya kepada Independent.my pada Ahad.

Sehubungan itu, Datuk Ramesh menzahirkan ucapan terima kasih beliau kepada Datuk Seri Anwar kerana sanggup menerima keyakinan rakyat termasuk masyarakat orang asli.

“Terima kasih Datuk Seri Anwar kerana sanggup menerima keyakinan masyarakat orang asli terhadap kepimpinan Datuk Seri yang telah diterjemahkan dengan 100 peratus undi untuk Datuk Seri.” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih tidak terhingga dalam kesanggupan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima bahawa masyarakat orang asli adalah juga golongan rakyat yang telah memenangkan beliau dengan majoriti besar.

“Masyarakat orang asli akan menjadi `hulubalang’ Datuk Seri Anwar dari hari ini dan selamanya…mohon sekiranya Datuk Seri dapat membantu masyarakat asli.

“Datuk Seri Anwar sememangnya faham erti kesengsaraan kerana beliau bukan seorang yang berbudayakan kekayaan…Saya pasti Datuk Seri akan bersungguh-sungguh membawa kehidupan yang lebih bermakna kepada masyarakat orang asli bukan sahaja di Parlimen Port Dickson malah Malaysia keseluruhannya.

“Cukup-cukuplah penderitaan selama 61 tahun ini ditanggung masyarakat orang asli diperdagangkan sebagai pendatang di bumi sendiri.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah harapan yang boleh saya harapkan secara jujur…Ramai pemimpin Pakatan Harapan sekarang sudah lupa apakah itu maksud kesengsaraan hidup walaupun baru lima tahun memerintah.

“Adalah menjadi harapan masyarakat orang asli saya supaya Datuk Seri Anwar mampu beriktiar menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat orang asli di Malaysia.” ujar Datuk Ramesh.

Semalam Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi. Beliau memperoleh 31,016 undi daripada 172 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 9.15 malam.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Port Dickson, Khairy Maamor. Keputusan rasmi itu menunjukkan Anwar menewaskan enam pencabarnya iaitu calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, yang memperoleh 7,456 undi. Calon lain, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas pula memperoleh 4,230 undi, manakala bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 112 undi. Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (243 undi) dan Kan Chee Yuen (180 undi).

Anwar, 71, layak bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson selepas mendapat pengampunan di-Raja daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada pada 16 Mei lepas.