Kerajaan Peruntuk Lebih RM320b Tingkatkan Ekonomi, Kesihatan

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR (BERNAMA) |  Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini menyediakan peruntukan mencecah RM322.5 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah negara, yang sememangnya amat diperlukan bagi melindungi rakyat dan menyokong petugas barisan hadapan ke arah memperkukuh pemulihan negara berikutan penularan pandemik kesihatan yang hampir melumpuhkan ekonomi global.

Lebih banyak bantuan berkaitan penjagaan kesihatan, insentif dan peruntukan untuk peralatan adalah bahagian penting dalam Belanjawan 2021 di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional yang bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama”.

Perniagaan — tidak kira kecil, sederhana mahupun besar turut tidak ketinggalan. Potensi ekonomi gig dan keperluan untuk menyediakan platform bersesuaian dari segi pendidikan, pembiayaan dan jaringan keselamatan turut dipertimbangkan.

Belanjawan itu turut memberikan pelepasan cukai untuk individu untuk meningkatkan kuasa membeli, memperkasakan keusahawanan wanita, orang kurang upaya, golongan rentan dan komuniti orang Asli menjadikan belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini, satu  belanjawan yang inklusif untuk semua.

“Kerajaan telah meletakkan keutamaan melindungi rakyat melebihi segala perkara lain,” kata beliau ketika membentangkannya di Parlimen ketika negara sedang berhadapan dengan gelombang ketiga pandemik COVID-19 dengan kes mencecah 1,000 sehari.

Tahun lepas, Belanjawan 2020 menyaksikan peruntukan berjumlah RM314.7 bilion, jumlah yang telah disemak semula daripada anggaran peruntukan awal RM297 bilion, yang diperoleh daripada suntikan rangsangan fiskal.

Belanjawan 2021 dipandu oleh lima strategi iaitu pandemik COVID-19 dan kesihatan awam, memelihara kebajikan golongan rentan, memperkasa peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan masyarakat sivil, menjamin kelestarian sumber dan perkhidmatan awam.

Daripada jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2021 itu, RM236.5 bilion (73.3 peratus) akan disalurkan kepada perbelanjaan operasi, RM69 billion atau 21.4 peratus kepada perbelanjaan pembangunan dan RM17 billion (5.3 peratus) kepada Kumpulan Wang COVID-19.