Kes Meningkat Ke 3 Digit Namun Terkawal

Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan sebanyak 116 kes koronavirus telah sembuh dan dibenarkan pulang manakala jumlah kes positif yang baru dikesan ialah sebanyak 105. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh ialah 4,326 (70%) dan jumlah kes positif keseluruhan ialah 6,176. Jumlah kes yang masih aktif dengan kebolehjangkitan dan sedang dirawat ialah 1,747.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 105 kes positif baru itu, 94 adalah jangkitan tempatan dan 11 adalah kes import. Daripada jumlah itu, 56 kes dikesan di kawasan PKPD di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selayang serta 4 dari bangunan Selangor Mansion. Tiada kes kematian dilaporkan hari ini.

Walaupun terdapat peningkatan ke 3 digit hari ini, beliau memberi jaminan bahawa KKM sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kes-kes baru yang dilaporkan adalah terkawal dan lebih tertumpu kepada kawasan tertentu.

“Trend positif Covid-19 harian sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan kes-kes import dan kes-kes yang dikesan dari lokaliti PKPD, namun kita tidak perlu khuatir tentang peningkatan kes-kes import dan kes-kes di PKPD ini kerana mereka sejak awal lagi telah diasingkan untuk disaring, diuji dan dirawat di hospital, “kata Noor Hisham semasa sidang media harian di sini hari ini.

Beliau juga berkata pelaksanaan PKP dan penyaringan serta penempatan pusat kuarantin untuk rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah membantu usaha kerajaan melandaikan lengkuk dan ia adalah hasil kerjasama dari pelbagai agensi dan orang ramai.

“Ternyata aktiviti pendekatan tertumpu yang dijalankan setakat ini telah berkesan dalam mengesan dan membendung penularan Covid-19 di negara ini. Namun ia memerlukan tindakan selari rakyat untuk patuh kepada semua arahan dan nasihat daripada kerajaan,” katanya.

Namun beliau mengingatkan bahawa sehingga kini pandemik Covid-19 masih belum berakhir. Risiko penularan masih wujud sekiranya kita lalai dari mengamalkan norma baru kehidupan seharian seperti amalan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya 1 meter dan memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di kawasan umum.