Kesavan serah kepada polis siasat dakwaan gangguan seksual

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

IPOH, 18 Mei (Bernama) — Anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan yang dihadapinya kerana melakukan gangguan seksual ke atas  seorang wanita.

Kesavan berkata, beliau akan memberi keterangan kepada pihak berkuasa dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang bakal dijalankan termasuk menyerahkan bukti berkaitan kepada polis.

Pada sidang media hari ini, Kesavan mengakui mengenali wanita itu sekitar tahun 2017 semasa mengendalikan kempen membantah pemindahan pengundi hantu ke kawasan Dewan Undangan Hutan Melintang semasa beliau menjadi ADUN kawasan itu.

“Saya dihubungi oleh wanita terbabit yang pada ketika itu memaklumkan mahu membantu kempen saya bagi menghalang pemindahan pengundi hantu ke kawasan DUN Hutan Melintang.

“Saya menerima tawaran bantuan itu dengan terbuka kerana dia mahu menjadi seorang sukarelawan yang mahu membantu kempen saya, seperti juga ramai sukarelawan parti yang lain,” katanya.

Jelas Kesavan, lama kelamaan, wanita itu mulai campur tangan dalam hal rumahtangga dan memburuk-burukkan isterinya.

“Menjelang September 2018, saya mula menjadi kurang selesa dengan kelakuan wanita berkenaan yang mula berubah dari seorang yang mengaku mahu menjadi kawan, kepada seorang yang mula mempunyai perasaan terhadap saya.

“Sejak beberapa bulan lepas, dia mula mengaku bahawa dia pembantu khas saya. Dia menelefon pegawai-pegawai kerajaan (termasuk Penolong Pegawai Daerah) dan memberi arahan bagi pihak saya, yang tidak disenangi pegawai-pegawai kerajaan,” katanya.

Menjelas lebih lanjut, Kesavan berkata kerana enggan memalukan wanita berkenaan yang sudah mempunyai suami dan dua anak, beliau tidak mahu membesarkan hal itu.

Katanya, selepas berbincang dengan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, beliau membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sungai Siput pada 4 Mei lepas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA