Lapangan Terbang Pangkor bakal dinaiktaraf

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 18 Mei (Bernama) — Kerajaan negeri merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Pangkor bagi menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke pulau berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) pada minggu hadapan antaranya mengenai perkhidmatan penerbangan secara terus ke pulau tersebut.

“Selain perbincangan daripada aspek teknikal, kita juga nak wujudkan penerbangan secara terus ke situ dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Lapangan Terbang Sultan Aziz Shah, Subang dan beberapa lapangan terbang lain.

“Perkara ini juga saya fikir perlu dilakukan kerana Pulau Pangkor juga  akan menjadi salah satu destinasi pulau bebas cukai dan tumpuan kepada para pelancong khususnya domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan menaiki Bas Hop On Hop Off (HOHO) bersama 25 pelancong dari Hong Kong di sekitar bandaraya Ipoh, di sini hari ini.

Bercakap mengenai sambutan terhadap Bas HOHO, Tan berkata setakat ini hampir 2,000 pelancong telah menggunakan perkhidmatan tersebut dan ia dijangka bertambah selepas beberapa kerjasama dibuat antara kerajaan negeri dan agensi pelancongan tempatan.

“Saya berharap kerjasama antara dua pihak ini akan memberi maklumat yang lebih terperinci kepada para pelancong yang mahu datang ke Ipoh dan menggunakan perkhidmatan bas ini,” katanya.

Katanya, perkhidmatan bas HOHO itu juga akan diperluas ke beberapa tempat lain seperti Tambun, Gopeng dan Batu Gajah bagi memastikan para pelancong luar mengetahui tentang destinasi menarik yang ada di luar bandaraya Ipoh.

“Kita juga dalam proses menyiapkan dua buah lagi bas HOHO untuk memastikan kemudahan ini digunapakai oleh para pelancong dan ia dijangka boleh beroperasi pada Jun ini,” katanya.

— BERNAMA