Lelaki maut ditetak dalam pergaduhan dua kumpulan

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Seorang lelaki maut selepas dia ditetak dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah kelab malam di Bandar Baru Medan Ipoh di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 8 pagi itu, mangsa, S. Kanakaran, 35, mengalami kecederaan parah selepas dia diserang empat lelaki bersenjatakan parang.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu itu bagaimanapun meninggal dunia ketika dibawa masuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai bermula di dalam kelab malam tersebut sebelum berlarutan sehingga ke luar.

“Kejadian berlaku ketika mereka sedang berhibur dan mabuk. Ia berlarutan sehingga ke luar kelab malam dan melibatkan senjata tajam iaitu parang.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan tetakan pada tubuh badan mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan.

“Motif sebenar kejadian masih disiasat dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya.