Huawei Mungkin Disekat Dari Beberapa Aplikasi Google Play Android

Reading Time: < 1 minute

Tindakan terbaru Google menyekat syarikat pembuat telefon pintar kedua terbesar dunia, Huawei dari beberapa kemas kini (updates) ke sistem pengendalian Android memberi tamparan hebat kepada syarikat China itu.

Rekaan terbaru telefon pintar Huawei ditetapkan kehilangan akses kepada beberapa aplikasi Google.

Langkah itu selepas pentadbitan Trump menyenaraikan Huawei ke dalam senarai syarikat yang tidak boleh diperdagangkan dengan firma Amerika kecuali mereka mempunyai lesen.

Google berkata ia mematuhi perintah itu dan sedang mengkaji sebarang implikasi.

Huawei berkata ia akan terus menyediakan kemas kini keselamatan dan perkhidmatan selepas jualan kepada semua produk telefon pintar dan tablet Huawei dan Honor yang ada yang telah dijual atau masih dalam stok di seluruh dunia.

“Kami akan terus membina ekosistem perisian yang selamat dan mampan, untuk memberikan pengalaman terbaik untuk semua pengguna di seluruh dunia,” katanya.

Bagaimanapun, pengguna telefon pintar Huawei sedia ada akan terus dapat mengemas kini aplikasi dan meneruskan pembetulan keselamatan (security fixes) serta mengemas kini perkhidmatan Google Play.

Hanya apabila Google melancarkan versi Android seterusnya pada tahun ini, ia mungkin tidak disediakan untuk peranti Huawei.

Peranti Huawei di masa hadapan mungkin tidak lagi mempunyai aplikasi seperti Youtube dan Google Maps.

Huawei masih boleh menggunakan versi sistem operasi Android yang tersedia melalui lesen sumber terbuka.

Ben Wood, dari konsultasi CCS Insight, berkata langkah Google akan memberi “implikasi besar untuk perniagaan Huawei”.

Sebelum ini, penggunaan teknologi 5G Huawei diharamkan kerana didakwa melibatkan isu-isu keselamatan yang serius. Lima negara selain Amerika telah mengharamkan Huawei iaitu Australia, New Zealand, United Kingdom, Kanada, Jepun.

India masih mmebenarkan teknologi 5G Huawei digunakan tapi mungkin membataskan penglibatan syarikat itu dalam pembangunan infrastruktur 5G.

Malaysia, Korea Selatan, Thailand tidak melihat terdapat ciri-ciri keselamatan yang perlu dikhuatiri.