ARMADA Bersatu Perak Bidas Kenyataan Teng & Ramasamy

Reading Time: < 1 minute

Foto Utusan Malaysia

Ketua Armada Bersatu Perak, Mubin Salleh dalam satu kenyataan media hari ini membidas tindakan YB Datuk Teng Chang Khim dan YB Dr P Ramasamy yang mencerca YB Dr Maszlee Malik dengan perkataan yang tidak sepatutnya serta melabelnya tiada beza dengan pemimpin UMNO.

Menurut Mubin, mereka sepatutnya ‘melihat cermin’ kerana kata-kata dan tuduhan itu terlihat seakan-akan menggambarkan empunya badan yang membuat tuduhan.

“Selaku pemimpin-pemimpin kepada kerajaan negeri yang telah dua penggal diberi kepercayaan oleh rakyat, sepatutnya tidaklah bodoh untuk memilih perkataan yang beradab untuk menyuarakan pendapat terutamanya pada rakan seangkatan, tidaklah pula bodoh untuk mendapatkan maklumat terperinci atau pencerahan berhubung sesuatu kenyataan Menteri dari pihak berkaitan.

“Serangan ini tiada beza dengan tindakan pemimpin parti pembangkang iaitu Gerakan dan MCA yang menyerang bertubi-tubi pemimpin kerajaan Pakatan Harapan ini berhubung isu yang sama. Malah, sikap seperti ini mirip sekali dengan sikap angkuh beberapa pemimpin UMNO semasa sebelum PRU 14 lalu yang tunjuk jaguh pada kelompok tertentu hingga jadi ‘kaki pukul’ tak kira lawan atau kawan,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada pihak media hari ini.

Beliau turut mengingatkan apabila tiba masa turun ke medan, diserang lawan bertubi -tubi di kiri dan kanan, mereka mula menagih bantuan, kawan pula akan serik menghulurkan, akhirnya kalah dalam peperangan!

“Moga jadi tauladan,” kata Mubin.

Beliau juga turut mengingatkan pesanan YB Uncle Lim (merujuk kepada kenyataan Lim Kit Siang) yang mengatakan anggota Pakatan Harapan mesti menjaga disiplin dalam menghadapi sebarang usaha untuk mewujudkan pergeseran dalam gabungan, jika tidak Malaysia Baru tidak akan berjaya, yang hanya akan membawa balik Najib Abdul Razak, Jho Low dan rentetan skandal mega kleptokrat yang akan menyebabkan Malaysia menjadi negara gagal, penyangak dan kleptokrasi.