Seorang anggota parlimen PKR dari Perak yang tidak disebut namanya dan seorang bekas bendahari cabang parti itu saling membuat laporan polis ke atas satu sama lain.
Dalam laporan polis itu, wanita berkenaan mendakwa menerima gangguan seksual daripada anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember tahun lalu. Manakala, wakil rakyat itu pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.
Demikian menurut laporan yang dipetik dari portal Malaysiakini yang diterbitkan pada Jumaat jam 7:02 malam.
Laporan itu juga menyebut bekas bendahari itu yang juga seorang peguam membuat laporan polis pada 16 Mei lalu mendakwa dia menerima gangguan seksual setelah bekerja dengan ahli parlimen itu selepas pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
Ahli parlimen itu pula dilaporkan membuat laporan pada 4 Mei mendakwa wanita berkenaan sering membuat panggilan telefon yang mengganggu hidupnya.
“Saya tidak dapat tahan dengan wanita tersebut yang mengganggu saya sehingga mengalami trauma dan gangguan jiwa,” kata ahli parlimen itu seperti yang dipetik dari laporan Malaysiakini.
Wanita tersebut dikatakan telah meletak jawatan bendahari cabang PKR tapi mendakwa terus menerima mesej dan gambar lucah serta ditunjukkan buku ‘kamasutra’, buku erotika kuno India di dalam panggilan video.
Untuk rekod, ahli Parlimen PKR dari Perak hanya terdiri dari Dr. Lee Boon Chai (Gopeng), Chang Lih Kang (Tanjung Malim) dan S. Kesavan (Sungai Siput).