Kisah ‘Mistik’ Di Sebalik Batu Petir

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Jarang kita dengar orang memiliki batu petir hitam asli  kerana batu ini yang kononnya mempunyai pelbagai kegunaan perubatan dan ampuh untuk bermacam hajat amat sukar untuk ditemui.

Namun sebagai umat Islam harus ingat bahawa kekuatan datangnya dari Allah SWT sebagai Yang Maha Mencipta segala macam elemen di dalam dunia.

Menyentuh kisah batu petir ini, seorang sahabat yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Pie ingin berkongsi pengalamannya bagaimana beliau beroleh batu petir ini secara tidak diduga.

Beliau menemui batu petir ini semasa bertugas di Sabah,  Negeri di Bawah Bayu dalam sekitar awal tahun 90-an.

“Kisahnya … suatu hari semasa bersantai hujung minggu bersama isteri dan anak di satu kawasan anak sungai di kaki Gunung Kinabalu lebih kurang jam 12 tengah hari  saya terlihat seketul batu hitam bersaiz tiga anak jari di antara batu-batu kerikil di tebing sungai berhampiran pokok besar.

“Peleknya batu ini berbeza dengan batu-batu lain kerana bentuknya seumpama beliung, teramat keras dan apabila dicium berbau belerang.

“Apabila teringatkan cerita orang tua-tua dahulu kononnya ciri-ciri batu petir hitam ini adalah baunya semacam belerang maka saya terus mengambil dan menyimpannya sehingga ke hari ini,’’ katanya kepada Independent.my.

Menurut Pak Pie, beliau pernah mendengar cerita orang tua-tua kononnya khasiat yang ada pada batu petir ini (dengan izin Allah SWT) mampu menyembuh demam panas dengan minum air batu petir yang direndam di dalam mangkuk.

Selain itu kononnya batu ini mampu meletakkan pemiliknya disegani, ditakuti semua kalangan serta pendinding daripada segala bentuk sihir dan melariskan perniagaan.

“Bagi saya, tiada apa-apa yang istimewa, batu petir tetap batu petir … kewujudannya datangnya dari Allah SWT sebagai pemilik dunia,’’ katanya.

Pak Pie berkata, beliau menzahirkan cerita ini bukan kerana mahu  mengangkat diri tetapi sekadar ingin berkongsi cerita untuk tatapan para pembaca sahaja.

 Menurut beliau, bagi mereka yang berminat untuk melihat batu petir boleh datang ke rumahnya di No 44, Jalan Murai Off Jalan Merpati, Kampung Pengkalan Pegoh.