Menteri Tidak Boleh Meminta Rakannya `dipancung’- Prof. Dr Aziz Bari

Reading Time: < 1 minute

IPOH: “Menteri tidak boleh meminta rakannya `dipancung’ atau meletak jawatan,’’ demikian kata Naib Pengerusi DAP Perak, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari.

Beliau menganggap tindakan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong desakan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan sebagai tidak wajar.

“Menteri semuanya tertakluk sebagai apa yang kita panggil ‘collective responsibility, jadi seorang menteri tak boleh bercakap di luar Kabinet minta kawan dia ‘dipancung’.

“Saya tak pasti apa sebenarnya yang berlaku tapi saya fikir ini (perbalahan) perkara biasa dalam kerajaan yang bersifat ‘coalition’ atau kerajaan bukan satu parti… Jadi pasti ada perbezaan pendapat dan ini yang menyulitkan sedikit,” katanya pada sidang media Karnival Mega Santai Anak Muda di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh pada Isnin.

Menurut  Aziz, pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) sudah mengeluarkan kenyataan supaya tiada lagi kenyataan sehingga ke peringkat mengkritik atau meminta meletak jawatan sama ada terhadap menteri atau pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC).

Katanya, ini akan beri kesan yang negatif di mata rakyat yang belum puas hati dengan janji-janji PH.

Sebaliknya tambah beliau lagi,  PH harus belajar daripada insiden ini supaya tidak berulang.

“Seruan daripada pemimpin kanan PH seperti Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta jangan lagi ‘menyerang’ dapat dihentikan serta merta,” katanya.

 Ditanya berhubung desakan pelbagai pihak supaya Waytha Moorthy dipecat, Abdul Aziz berkata, kuasa melantik dan memecat menteri adalah kuasa Perdana Menteri.

“Sama  ada patut dikekalkan atau ditamatkan itu hak Perdana Menteri dan kita yakin Perdana Menteri akan mempertimbangkan semasak-masaknya semua faktor yang berkaitan dalam isu ini,’’ katanya.