KADIR Desak Tun M Gugurkan Waytha Moorthy

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didesak menggugurkan segera Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat negara ini.

Menurut Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Dr Azhar Ahmad, selagi menteri berkenaan masih berada di dalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) ia bukan sahaja boleh merosakkan perpaduan rakyat jelata malah merosakkan kemuliaan kepimpinan kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dengan penuh harapan demi melihat perpaduan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara, bersilatulrahim dan berkasih sayang,  kami merayu Tun Dr Mahathir gugurkan Waytha Moorthy dari kabinet,” katanya kepada Independent.my pada Jumaat.

Temubual Eksklusif penuh bersama Datuk Dr Azhar Ahmad berhubung isu ini boleh dilayari di saluran Youtube Perak Independent.

Menurut Datuk Dr Azhar, bersandarkan latar belakang pemimpin Hindraf itu serta kenyataan-kenyataan berbaur rasis termasuk memburukkan Malaysia di luar negara tidak sewajarnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu diletakkan dalam kabinet Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed.

Beliau mempersoalkan apakah kriteria seorang menteri yang menjaga perpaduan mahu melahirkan insan yang hormat-menghormati sesama insan yang hidup penuh berkasih sayang.

“Adakah Moorthy ini sesuai menjadi menteri yang menjaga perpaduan? … Sebenarnya tidak malah dia menjadi perosak kepada perpaduan.

“Dia nak jadi menteri kepada sekelompok manusia yang faham seperti dia yang menyokong dia tapi sebenarnya dia merosakkan perpaduan,” ujar Datuk Dr Azhar.

Beliau merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri tersebut selepas peristiwa rusuhan kuil di Selangor sehingga menyebabkan salah seorang anggota bomba yang terlibat dalam memadam kebakaran meninggal dunia dipercayai akibat dipukul oleh perusuh.