Pemimpin UMNO Berpaling Tadah Seperti ‘Monyet Lompat Pagar’

Reading Time: 2 minutes

Presiden Reformis Muda Perak (RMP), Haji Roslan Ali menyelar pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak jadi seperti monyet lompat pagar kerana dahulu merekalah yang sering menghentam setiap perkara yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).

Bercakap kepada Independent hari ini, Roslan menambah Tun Mahathir pernah berjanji bahawa pemimpin-pemimpin UMNO tak dibenarkan masuk ke dalam PH tapi kini berlainan pula keadaannya.

“Tun dulu dah janji bahawa semua pemimpin UMNO tak dibenarkan masuk, ini dah jadi lidah biawak,” sindir beliau.

Roslan turut mempersoal sikap pemimpin PH yang sedia menerima para pemimpin UMNO yang lari ke PH kerana keadaan parti itu kini berbeza dari dulu dimana UMNO kini sudah tidak menjadi kerajaan.

“Kita bukan seperti PAS dah tau kapal nak karam mereka berikan tongkat untuk terus berdiri, sekarang bila dah karam semua pemimpin UMNO lari ke PH.

“Orang-orang macam saya yang telah berjuang bertahun-tahun, kena tembak dengan gas pemedih mata, kena kejar dengan polis FRU dan macam-macam lagi,” kata Roslan kesal.

Bagi beliau, tidak ada gunanya berjuang bermati-matian mahu menumbangkan UMNO selama bertahun-tahun bila akhirnya pemimpin PH pula menerima mereka menyertai PH. Baginya, lebih baik beliau pula lompat masuk UMNO kerana baginya parti tak bersalah.

“Kalau Tun Mahathir boleh terima penyamun dan penyangak masuk PH, lebih baik saya cadangkan orang-orang macam saya masuk ke dalam UMNO pula dan berjuang melawan PH kerana UMNO tak salah, parti tak salah, yang salah ialah pemimpin sebab mereka terdiri dari penyamun dan penyangak,” katanya.

Beliau melihat bila semua penyamun dan menyangak lari meninggalkan UMNO, maka yang tinggal dalam UMNO ialah mereka yang bersih.

“Yang tinggal di dalam BN ialah orang-orang yang bersih, tiada lagi penyamun dan penyangak.

“Kalau begini cara Tun, saya berikrar akan meracuni pemikiran rakan-rakan yang telah sama-sama berjuang sejak sekian lama untuk bertukar angin menyertai BN sebab semua penyamun dan penyangak sudah lari ke PH, jasa dan pengorbanan orang-orang macam saya tidak dipandang terutama oleh Tun”, katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi ungkapan pemimpin UMNO yang lompat parti adalah seperti monyet lompat pagar.

“Dalam UMNO banyak pemimpin yang jadi monyet lompat pagar dan saya akan racuni otai-otai perjuangan beralih angin sertai BN,” tambah beliau memberi amaran.

Untuk rekod, sejak kebelakangan ini ramai pemimpin UMNO terdiri dari ahli Parlimen dan Adun serta Senator keluar meninggalkan parti itu dan menjadi wakil Bebas, sebahagiannya mengumumkan menyokong kerajaan Pakatan Harapan dan ada yang menyertai parti Bersatu. Antaranya ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan AhliParlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati binti Samsuddin.