Koon Yew Yin Dakwa Dipecat Kerana Bantah Projek Lapangan Terbang Baru

Reading Time: < 1 minute

Selepas beberapa hari mendakwa beliau diberhentikan dari menjadi anggota penasihat ekonomi Perak kerana memburukkan institusi diRaja Perak, Koon Yew Yin semalam mendakwa antara penyebab beliau dikeluarkan ialah kerana membantah cadangan membina lapangan terbang baru di Seri Iskandar, yang terletak 50 kilometer di selatan Ipoh.

Koon mencadangkan lapangan terbang sedia ada di Ipoh dinaiktaraf terlebih dahulu dengan menambah bilangan runway untuk menampung keperluan pendaratan pesawat yang lebih besar. Beliau mendakwa ia telah dipersetujui oleh anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Koon berkata Dato’ Seri Ahmad Faizal mahu menukar status Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah hanya untuk pendaratan pesawat persendirian setelah membina lapangan terbang baru di Seri Iskandar siap dibina.

Koon pernah menulis di Blog beliau tentang “Memandangkan situasi ekonomi negeri yang masih belum memberangsangkan, Menteri Besar sepatutnya tidak membelanjakan wang yang banyak untuk membina lapangan terbang yang baru.

“Sebaliknya, dia patut memanjangkan runway untuk pesawat lebih besar mendarat.

“Harga memanjangkan landasan jika dibandingkan tidak begitu besar,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal Free Malaysia Today.

Koon baru-baru ini telah menimbulkan kontroversi setelah mengaitkan penglibatan Sultan dalam pemecatan beliau dari majlis penasihat ekonomi Perak. Dalam artikel bertarikh 2hb November 2018 di Blog peribadi beliau, beliau menulis Sultan Perak tidak punya hak untuk memecat beliau sebagai penasihat ekonomi Perak. Ahmad Faizal kemudian mendakwa beliau sendiri telah memecat Koon atas kapasiti sebagai Menteri Besar kerana Koon dikatakan membuat tuduhan serius terhadap institusi diRaja. Pihak istana juga menafikan campur tangan dalam pemecatan beliau.

Pencarian Independent ke Blog beliau bagaimanapun tidak menemui artikel tersebut, mungkin ia sudah dikeluarkan.