Koronavirus: Negara-negara Dengan Kadar Kematian Paling Tinggi & Rendah

Reading Time: 2 minutes

Mengikut perangkaan Johns Hopkins University, angka dijangkiti koronavirus (Covid-19) sudahpun mencecah 511,603 (pada 27 Mac 2020) di seluruh dunia. Ia lebih setengah juta.

Pada masa berita ini ditulis, jumlah pesakit yang disahkan di Itali kini 80,589 sudah hampir menyamai jumlah di China iaitu 81,782. Sudah hampir pasti dalam masa beberapa ketika sahaja Itali sudahpun mendahului China.

Apa yang menakutkan ialah jumlah kematian di Itali jauh lebih tinggi iaitu 8,215 berbanding China cuma 3,291. Ini meenunjukkan kadar kematian akibat koronavirus di Itali kira-kira 10% dari jumlah yang dijangkiti.

Amerika menduduki kedudukan ketiga selepas Itali dengan jumlah dijangkiti sebanyak 76,514 dengan jumlah kematian sebanyak 1,093. Kadar kematian agak rendah kira-kira 1.4%.

Negara keempat yang semakin menunjukkan peningkatan berterusan ialah Sepanyol dengan jumlah jangkitan 56,197. Kadar kematian pula agak tinggi iaitu 7.3%.

German juga mengalami peningkatan berterusan dengan jumlah dijangkiti kini 43,646. Tetapi yang menarik tentang German ialah kadar kematian yang begitu rendah iaitu hanya 239 orang. Ini hanya 0.54% dari jumlah pesakit.

Iran walaupun meningkat tetapi kadar peningkatan jangkitan semakin perlahan dan kini berada di kedudukan ke-6 negara tertinggi jumlah pesakit koronavirus. Dengan jumlah jangkitan 29,406, kadar kematian pula agak tinggi iaitu 2,234 orang (7.59%).

Dari 175 negara yang merekodkan kes jangkitan, Malaysia adalah negara ke-22 dalam senarai tertinggi jumlah jangkitan di seluruh dunia iaitu 2,031 dengan kadar kematian yang begitu rendah iaitu 23 orang (1.13%). Di kalangan negara Asia, Malaysia adalah keempat tertinggi dijangkiti selepas China, Iran dan Korea Selatan.

Korea Selatan sedang menunjukkan lengkungan graf yang semakin mendatar walaupun masih terdapat peningkatan. Dengan jumlah jangkitan 9,241 dan jumlah kematian juga rendah iaitu 131, kadar kematian cuma 1.4%.

Negara-negara lain dengan kadar kematian yang rendah dengan jumlah jangkitan melebihi 1,000 orang ialah Chile (0.3%), Thailand (0.38%), Norway (0.42%), Australia (0.46%), Austria (0.73%), Pakistan (0.76%), Kanada (1%), Switzerland (1.6%), Sweden (2.5%) dan Israel (3%).