Tiada Kakitangan Wad Kecemasan HTI Dikecualikan Jalani Saringan Koronavirus

Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA | Semua kakitangan hospital Teluk Intan termasuk pekerja pembersihan di jabatan kecemasan tidak terkecuali dari melalui pemeriksaan Covid-19 selepas 37 kakitangan hospital itu didapati positif selepas diperiksa pada Rabu (25 Mac).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham turut menafikan dakwaan kakitangan pembersihan di jabatan kecemasan dilarang oleh syarikatnya menjalani pemeriksaan kerana mereka tidak dapat menyediakan kakitangan pengganti jika dikuarantin.

Menurut Noor Hisham lagi, 37 kakitangan hospital yang didapati positif Covid-19 itu bukan dijangkiti semasa mereka mengendalikan pesakit.

Mereka antara 73 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang disahkan dijangkiti Covid-19.

Selain Hospital Teluk Intan, ia membabitkan kakitangan Hospital Putrajaya, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Selayang.

Noor Hisham berkata, Hospital Teluk Intan mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi dan pihaknya sudah menyelaras tenaga sumber manusia terdiri doktor dan jururawat ke hospital itu.

Jabatan kecemasan hospital itu ditutup sejak semalam untuk kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi. Namun bahagian kecemasan akan terus beroperasi di bangunan Unit Pesakit Luar buat sementara waktu, menurut Noor Hisham dalam satu kenyataan pada Rabu 25 Mac.