Menteri, Timb. Menteri Potong Dua Bulan Gaji Untuk ‘Tabung Covid-19’

Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA | Kabinet telah bersetuju untuk memotong gaji semua menteri dan timbalan menteri selama dua bulan, dengan wang yang disalurkan kepada tabung Covid-19.

“Langkah ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas oleh Covid-19,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan sehingga semalam, jumlah yang telah dikumpul, termasuk geran kerajaan, adalah sebanyak RM8.4 juta.

Dana yang dilancarkan pada 11 Mac itu adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu mereka yang terjejas oleh pandemik. Ia diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia antara lain bagi membantu rakyat yang terjejas akibat tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin 14 hari sebelum pulih.

Negara-negara lain yang terjejas oleh Covid-19 juga telah mengenakan potongan gaji untuk menteri dan timbalan mereka.

Presiden Singapura, menteri dan pemegang jawatan politik telah memotong sebulan gaji, sementara Hong Kong juga telah mengambil langkah yang sama.

Sejumlah 1,796 kes telah direkodkan di Malaysia, dengan 21 kematian.