Dua Kawasan di Johor Diletak Di Bawah Perintah Berkurung

Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA | Dua kawasan di Simpang Renggam, Johor dikenakan perintah berkurung selepas melaporkan peningkatan luar biasa kes koronavirus.

Kedua-dua kawasan tersebut ialah Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu, yang digelar Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD), yang akan berkuatkuasa sehingga 9 April.

Penduduk diperintahkan tinggal di rumah sepanjang masa dan semua aktiviti perniagaan diarah tutup.

Pihak berkuasa akan mengedarkan makanan dan keperluan asas dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada kira-kira 650 keluarga melibatkan 3,500 penduduk.

Menurut Ismail, langkah drastik itu telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan selepas 61 daripada 83 kes yang dilaporkan di Kluang didapati berasal dari kedua-dua kawasan tersebut.

PKPD bertujuan mencegah Covid-19 daripada menyebar ke luar kawasan dan akan membolehkan pengesanan virus dibuat dari rumah ke rumah lebih mudah.

Dengan pelaksanaan arahan ini:

  • Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan meninggalkan rumah mereka semasa tempoh PKPD;
  • Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan di kedua-dua kawasan semasa tempoh PKPD;
  • Semua aktiviti perniagaan di kedua-dua kawasan dihentikan;
  • Makanan asas 14 hari akan disediakan kepada semua penduduk di kedua-dua kawasan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat;
  • Pangkalan perubatan akan dibuka di dalam kawasan itu;
  • Semua pintu masuk dan keluar ke kawasan itu akan ditutup; dan,
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kor Rela Malaysia (Rela) akan mengendalikan kawasan itu bagi memastikan pematuhan perintah ini.

Ismail menasihati penduduk di kawasan itu untuk memberi kerjasama penuh dan mematuhi perintah daripada pihak berkuasa.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang soalan boleh menghubungi talian khusus di 07-7735224 / 07-7722434.