Intipati Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN Rakyat

Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Berikut adalah intipati Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Pakej bernilai RM250 bilion itu akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Daripada jumlah keseluruhan, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Ia meliputi:

  1. Semua rakyat Malaysia akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan tiada golongan yang akan tercicir.
  2. Membendung penularan wabak COVID-19.
  3. Kerajaan bersama Tenaga Nasional Bhd akan menambah peruntukan sebanyak RM530 juta untuk memberikan diskaun berperingkat antara 15 peratus hingga 50 peratus untuk penggunaan kadar elektrik, dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan.
  4. Diskaun 50 peratus diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15 peratus bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt.
  5. Diskaun elektrik itu akan berkua tkuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020.
  6. Syarikat telekomunikasi dan multimedia tawar beberapa pakej khas termasuk internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.
  7. Dana tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.
  8. Program Subsidi Upah diperkenalkan untuk membantu majikan mengekalkan pekerja agar tiada pekerja dibuang kerja dan hilang pendapatan.
  9. Kerajaan sediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan, khusus kepada pekerja berpendapatan bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari 2020.
  10. Kerajaan setuju bayar gaji pekerja kontrak perkhidmatan yang ditanggung oleh kontraktor yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan walaupun pekerja tidak hadir bekerja.
  11. Lebih 80,000 pekerja akan menerima manfaat daripada inisiatif itu yang melibatkan peruntukan berjumlah RM110 juta.
  12. Tempoh kontrak perkhidmatan yang berkenaan dilanjutkan selama sebulan sebagai trade-off dengan tempoh PKP.
  13. Kerajaan dan Bank Negara Malaysia akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro.
  14. Dana tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS ditambah sebanyak RM3 bilion dan kadar faedah dikurangkan kepada 3.5 peratus daripada 3.75 peratus.
  15. Saiz dana Kemudahan Semua Sektor Ekonomi ditambah sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.
  16. Dana tambahan sebanyak RM500 juta disediakan untuk Skim Kredit Mikro, menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta, bagi pembiayaan mudah.
  17. Amaun pembiayaan ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.
  18. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan tawar kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan kepada 80 peratus daripada 70 peratus bagi PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.
  19. KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020.
  20. Kerajaan membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020.
  21. Pendapatan pihak bank daripada faedah atau keuntungan ke atas pinjaman atau pembiayaan yang terlibat dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan yang dinyatakan, hanya dikenakan cukai apabila pendapatan tersebut diterima selepas tempoh moratorium.
  22. Langkah moratorium turut dilaksanakan bagi pinjaman TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS mulai 1 April 2020.
  23. Kerajaan menyediakan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai keperluan modal kerja.
  24. Saiz minimum pinjaman yang layak dijamin ialah RM20 juta bagi setiap perniagaan.
  25. Kerajaan akan beri tumpuan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi dan mengekalkan pekerjaan.
  26. Kerajaan telah mengenal pasti beberapa projek kecil yang akan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4. Peruntukan sebanyak RM2 bilion akan disediakan.
  27. Semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 termasuk ECRL, MRT2 serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara akan diteruskan.
  28. Kerajaan akan buat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk bantu kurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar.
  29. Strategi dan langkah yang akan dilaksanakan berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.

— BERNAMA