Larangan Nama Asing Dikeluarkan Semula Pada PBT

Reading Time: < 1 minute

Pekeliling berhubung larangan penggunaan nama asing bagi projek perumahan, bangunan serta jalan akan dikeluarkan semula kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengingatkan mereka tentang garis panduan yang perlu dipatuhi untuk kelulusan permohonan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata penggunaan nama yang tidak mencerminkan Malaysia seperti penggunaan bahasa Inggeris dan nama orang Inggeris pada infrastruktur itu masih berlaku walaupun garis panduan mengenainya telah lama wujud.

Mengakui aspek penguatkuasaan juga masih lemah, Zuraida berkata beliau mahu PBT lebih tegas dan menjalankan tugas tanpa campur tangan pihak luar atau politik.

“Kita sudah ada garis panduan yang jelas iaitu ‘nama-nama orang putih’ memang tidak boleh tetapi kadang-kadang pemaju merayu atas dasar syarikat itu dimiliki orang dari luar negara.

“Bagaimanapun dalam hal ini, saya mahu pastikan pihak berkenaan terutamanya PBT lebih bertegas dalam meluluskan nama-nama supaya nama yang diberikan tidak merencatkan rancangan kerajaan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum pembangunan negara bangsa di Bilik Senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, hari ini.

“Saya akan hantar semula pekeliling mengenai larangan itu kepada PBT bagi mengingatkan mereka tentang keperluan mematuhi garis panduan berkenaan,” kata Zuraida.

Terdahulu dalam syarahannya, Zuraida membangkitkan keperluan mewujudkan kumpulan penggerak siswa bagi menjayakan Dasar Komuniti Negara (DKN) yang dilancarkan pada Februari lepas di mana penggerak siswa itu boleh berperanan menyumbang bakti dalam bidang pendidikan dan kemahiran.

“Dengan memasyarakatkan universiti, golongan terpelajar ini boleh berkongsi ilmu dengan anak dari golongan keluarga B40 melalui kelas tuisyen serta mengajar pendidikan asas yang diperlukan,” katanya.

– Bernama